KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan memberikan pelbagai bantuan sama ada secara tunai atau bersifat insentif untuk meningkatkan kuasa beli rakyat adalah tepat.
Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, perbelanjaan swasta termasuk perbelanjaan pengguna merangkumi 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Justeru, pengumuman kerajaan untuk memperkenalkan pelbagai program seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), bantuan awal persekolahan dan sebagainya dilihat mampu merancakkan perbelanjaan pengguna dan seterusnya memberi nafas kepada aktiviti keusahawanan secara signifikan.
http://https://malaysiagazette.com/2021/10/29/bantual-awal-persekolahan-rm150/
http://https://malaysiagazette.com/2021/10/29/penjawat-awam-dapat-rm700/
“Jika kita lihat kecenderungan orang Malaysia untuk berbelanja adalah tinggi, maka pengumuman-pengumuman tersebut akan memberi impak signifikan terhadap Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang mana capaiannya dalam sektor ekonomi seperti makanan dan minuman (F&B), pelancongan, pertanian dan sebagainya adalah meluas.
“Jadi, boleh disimpulkan bahawa penekanan terhadap PMKS oleh kerajaan melalui Bajet 2022 ini adalah tepat,” katanya semasa ditemubual dalam program khas Bajet 2022: Bajet Terbesar Untuk Keluarga Malaysia terbitan Malaysia Gazette.
Tambah Mohd. Afzanizam, beberapa insentif lain yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz semalam turut dilihat mampu memberi impak langsung dalam pemulihan ekonomi negara antaranya insentif penggajian tenaga kerja.
Selain itu, langkah meneruskan program i-Tekad pula dilihat mampu meluaskan capaiannya untuk membantu golongan miskin dan asnaf menceburi bidang keusahawanan dapat diperluas ke seluruh negara.
Menyentuh mengenai unjuran defisit sebanyak enam peratus pula, Mohd. Afzanizam berpendapat, jumlah itu adalah besar namun masih terkawal.
Katanya, secara keseluruhan, kerajaan dilihat masih berhati-hati dalam perbelanjaan untuk tahun 2022.- MalaysiaGazette