KUALA LUMPUR – Persekutuan e-Sports Malaysia (MESF) menarik nafas lega selepas pengumuman Bajet 2022 semalam yang turut memberi fokus kepada industri e-sukan di negara ini.
Menurut Presiden MESF, Datuk Ananth S Nathan, inisiatif kerajaan yang menyediakan RM20 juta bagi pertumbuhan e-sukan, RM5 juta bagi pusat kecemerlangan sukan dron dan pengecualian cukai pendapatan ke atas hadiah kejohanan e-sukan sangat mengembirakan.
Jelasnya, perancangan itu menunjukkan kerajaan serius untuk memperkasakan industri ini.
“Suntikan kewangan ini tentu sekali dapat membantu untuk membangunkan e-sukan di peringkat masyarakat dan menambahbaik fasiliti dan platform yang amat diperlukan.
“Sudah tiba masanya Malaysia bergerak lebih laju untuk melahirkan lebih ramai atlet e-sukan yang bertaraf dunia. E-Sukan ini adalah sukan tanpa had kategori, maka sudah tentu kita mahu Malaysia berupaya untuk bersaing kelak.
“Namun begitu, MESF melahirkan rasa kesal kerana masih tidak dilibatkan oleh kerajaan bagi membincangkan secara teliti berkenaan pengagihan peruntukkan E-Sukan di dalam pengumuman belanjawan tahun- tahun terdahulu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Jelas Ananth, kerajaan perlu melihat MESF sebagai entiti dan pemegang taruh utama dalam mendapatkan maklumat terperinci berkenaan status quo E-Sukan di Malaysia.
“MESF khuatir kerajaan mendapat nasihat dan pandangan daripada hanya suatu pihak, mahupun dari pihak berkepentingan dengan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.
“Ini sangat tanpa bertanggungjawab serta tidak serius terhadap keluarga besar E-Sports di Malaysia.
“Atas sebab itulah, MESF ingin kerajaan mengkaji semula rasional mengembalikan peranan pembangunan E-Sukan ini kepada MESF dan menyokong MESF sebagai sebuah badan sukan tertinggi untuk mengawal selia segala urus tadbir berkenaan.
“Sebagai ahli IESF, kredibiliti MESF tidak perlu dipertikaikan lagi, dan MESF sememangnya dan sentiasa bersedia untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran dan pengalaman dalam mengkoordinasikan blueprint E-Sukan Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Ananth pihaknya bersedia untuk membantu dengan menjalinkan kerjasama antara dua entiti ini adalah kunci yang wajib digunakan demi pencapaian yang lebih baik.
“Kami bersedia pada bila-bila masa untuk duduk semeja bukan sahaja bersama pihak KBS malah juga keterlibatan Kementerian lain bagi merangka hala tuju lebih berstruktur agar E-Sukan dilihat sebagai salah satu cabang sukan dan sebuah industri yang memberi pulangan lumayan kepada ekonomi negara,” katanya. -MalaysiaGazette