Home Nasional Polis kenalpasti ‘Karen’ buat kecoh tak pakai pelitup muka

Polis kenalpasti ‘Karen’ buat kecoh tak pakai pelitup muka

Polis mengenalpasti identiti seorang wanita warga asing yang dikenali sebagai Karen yang didakwa menimbulkan kekecohan kerana enggan memakai pelitup muka di di KLCC dan di Bangsar di sini baru-baru ini.- Gambar tular media sosial.

KUALA LUMPUR – Polis mengenalpasti identiti seorang wanita warga asing yang dikenali sebagai Karen yang didakwa menimbulkan kekecohan kerana enggan memakai pelitup muka di di KLCC dan di Bangsar di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, wanita berusia 51 tahun itu akan dipanggil untuk memberikan keterangan kepada pihaknya.

“Kita sudah mengenalpasti identiti wanita asing yang dikesan membuat kekecohan dengan tidak memakai pelitup muka di dua pusat beli belah.

“Kita sedang berhubung dengan dia untuk memanggilnya hadir ke balai untuk dirakam keterangan membantu siasatan polis,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Noor Dellhan, wanita itu juga didapati melakukan dua kesalahan iaitu melanggar prosedur operasi standard (SOP) mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Kita akan terus mengeluarkan kompaun RM1,500 nanti untuk setiap kesalahan yang dilakukannya,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, wanita sama juga sedang disiasat oleh polis daerah Brickfields bersabit kesalahan tidak memakai pelitup muka  di satu lagi pusat beli-belah terkenal di kawasan Bangsar.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pada 29 Oktober lalu, polis mengesan satu klip video berdurasi 20 saat yang tular di laman sosial  bertajuk “Spotted Karen Making Another Scene at BSC!

Katanya, klip video tersebut memaparkan wanita telah ditahan oleh pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah kerana tidak memakai pelitup muka ketika cuba masuk ke dalam premis.

“Penelitian ke atas video klip itu mendapati berlaku pelanggaran SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21a Akta 342 dan Peraturan 17(1) PPPDPPB 2021 kerana melanggar SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan dan boleh diambil tindakan berlunaskan undang-undang berkaitan.

“Wanita itu akan dipanggil hadir ke balai polis untuk diambil keterangan. Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular ini bimbang mendatangkan kegusaran awam,” tegasnya.- MalaysiaGazette