Home Politik PRN Melaka: Srikandi hantar enam calon

PRN Melaka: Srikandi hantar enam calon

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bercakap pada sidang media Program Pusat Sokongan Sosial Setempat di pusat Penjaja Taman Putra Perdana, Puchong. Foto AMIRUL SHAUFIQ 31 OKTOBER 2021.

PUCHONG – Sayap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menyenarai pendek enam calon bagi diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 8 November depan.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, senarai itu telah dihantar ke Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan.

“Belum ada pengumuman tapi Srikandi telah hantar enam nama dan kami berharap mereka diberikan peluang untuk menjadi calon.

“Semua muka baharu sebab di Melaka tidak ada ADUN Srikandi,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bergerak di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana, hari ini.

Sebelum ini, PN menerusi Muhyiddin berkata, gabungan itu akan meletakkan calon di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Ini kerana rundingan dengan UMNO-Barisan Nasioanal (BN) gagal mencapai kata sepakat.

Ditanya mengenai jumlah calon wanita bagi PN, Rina berkata, perkara itu telah diserahkan kepada Muhyiddin nanum jumlahnya masih belum diputuskan.

“Kita juga ada hantar nama-nama daripada PN dan kita harap akan dapat sokongan daripada PN supaya ramai lagi wakil rakyat wanita diberikan peluang dan saya yakin mereka akan dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Jumlah itu belum ditentukan, ada beberapa lagi yang menuntut kerusi di antara parti dan ia masih lagi dalam proses,” jelas Ahli Parlimen Titiwangsa itu lagi.

Untuk rekod, pembahagian kerusi PN bagi PRN Melaka masih belum dimuktamadkan dan bergantung kepada hasil rundingan dilakukan sebelum hari penamaan calon pada 8 November.

Rabu lalu, Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, parti itu diberikan lima kerusi DUN di PRN itu kali ini. – MalaysiaGazette