KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Beliau berkata, pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar kepada negeri Sarawak dan negara.
“Mendiang merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, berpandangan jauh dan berwibawa.
“Jasa dan pengorbanan mendiang pasti akan dikenang sampai bila-bila,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan berharap agar seluruh ahli keluarganya diberikan kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi saat duka ini.
Terdahulu hari ini, media melaporkan Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jangkitan Covid-19 di Pusat Perubatan Pakar Normah di sini, hari ini.
Masing, 72, adalah ahli politik veteran Sarawak yang mewakili DUN Baleh selama lapan penggal sejak 1983. – MalaysiaGazette