PUCHONG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini melancarkan tujuh Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bergerak, khusus kepada golongan wanita, kanak-kanan, keluarga, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Menurut menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, ketujuh-tujuh PSSS itu akan memberikan perkhidmatan sosial yang holistik dan menekankan kepada pendekatan yang seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kita cadangkan tiga secara premis di Kelantan, Selangor dan juga Johor dan tujuh secara bergerak. Dalam Bajet 2022 baru-baru ini ada penambahan RM4.5 juta yang akan kita gunakan untuk menambahbaik pusat sokongan dan kita akan tambah tiga lagi untuk tahun harapan.
“Ini adalah inisiatif pihak kementerian melalui Yayasan Kebajikan Negara dalamĀ menyediakan perkhidmatan dari segi psikososial dan menjadi satu pusat di mana rakyat boleh datang PSSS ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bergerak di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana, hari ini.
Tiga presmis PSSS dan empat PSSS bergerak itu telah memulakan perkhidmatannya bulan lalu termasuk satu pejabat satelit di ibu negara.
PSSS ini akan diperkuatkan dengan kehadiran 111 anggota Skuad Sukarelawan Kaunselor Berdaftar di bawah KPWKM.
Selain memberikan perkhidmatan psikososial, PSSS ini juga akan menawarkan akses kepada informasi dan perkhidmatan mengenai kaunseling dan intervensi, menggerakkan usaha keseluruhan kerajaan dan masyarakat dalam membendung masalah sosial serta menawarkan bantuan kepada pihak yang memerlukan.
PSSS ini juga akan menjadi tempat rujukan setempat untuk masyarakat mengemukakan sebarang aduan.
Dalam pada itu, Rina turut berkata, sejumlah 30 aduan telah diterima oleh PSSS sepanjang sebulan beroperasi.
“Tidak sampai sebulan, kita telah terima kurang daripada 30 kes, di mana banyak isu berkaitan faktor emosi dan tekanan akibat ekonomi. Di kementerian kita selesaikan masalah secara holistik,” katanya lagi.
Tambah Rina, PSSS ini akan turut dilebarkan sayapnya ke seluruh negara pada tahun hadapan dan buat masa ini akan memfokuskan kepada pelaksanaannya di Lembah Klang terlebih dahulu.
Sebanyak RM21 juta diperuntukkan kepada KPWKM untuk membina tujuh PSSS seperti PSSS Bergerak di Zon Utara, Selatan, Tengah, Timur, Sarawak, Sabah dan Putrajaya. – MalaysiaGazette