Home Nasional PTPTN berjaya capai sasaran deposit RM110 juta

PTPTN berjaya capai sasaran deposit RM110 juta

Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, menyampaikan ucapan semasa Majlis Penutup BMS 2021 & Sambutan Hari Tabungan Sedunia.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mencapai sasaran mendapatkan deposit sebanyak RM110 juta sempena Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2021.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, bagi tempoh 1 Oktober hingga 30 Oktober jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM155 juta atau 141 peratus berbanding RM110 juta yang disasarkan.

“Ini merupakan satu kejayaan anda semua sebagai pendeposit Simpan SSPN di kala pandemik Covid-19 masih melanda negara.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua pendeposit kerana anda berjaya menjadi Superhero anak anda,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Dasuki berkata, hari Tabungan Sedunia diperkenalkan pada 31 Oktober 1924 dan diputuskan ketika Kongres Bank Simpanan Antarabangsa kali pertama di Milan, Itali.

Katanya, Hari Tabungan Sedunia disambut untuk menggalakkan tabungan dan menyemai minat menabung dalam kalangan orang ramai seluruh dunia.

Hawa Rizwana dan Jihadullah mengacarakan Chit Chat Hari Tabungan Sedunia bersama selebriti jemputan, Nabil Ahmad dan Keluarga bagi memeriahkan lagi majlis ini.

Ia kemudian diraikan untuk kali pertama pada tahun 1925, seterusnya dijadikan acara tahunan pada setiap 31 Oktober, katanya.

Tambah beliau, selaras dengan tema Hari Tabungan Sedunia tahun 2021 iaitu “Hold on to your financial future”, ia jelas menunjukkan penabungan dan budaya jimat cermat merupakan elemen penting dalam menentukan dan menjamin masa depan setiap
individu.

“Pada tahun ini, PTPTN telah mensasarkan jumlah deposit sebanyak RM1.8 bilion dengan 400,000 pembukaan akaun baharu. Rekod sehingga September 2021 menunjukkan pencapaian sebanyak 315,984 akaun baharu Simpan SSPN.

“Manakala deposit yang diterima bagi tempoh yang sama adalah sebanyak RM1.78 bilion”, ujarnya. – MalaysiaGazette