Home Nasional Muhyiddin sedih terima berita kematian Masing

Muhyiddin sedih terima berita kematian Masing

Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto AMIRUL SHAUFIQ 29 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menghargai sumbangan mendiang Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. James Jemut Masing sebagai seorang negarawan berjiwa besar yang banyak membantu mengukuhkan dan mengeratkan lagi semangat perpaduan negara.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berasa amat sedih dan hiba menerima berita pemergian Masing yang meninggal dunia pagi tadi di Normah Sarawak Medical Centre, Kuching.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, jasa bakti beliau kepada negara dan negeri Sarawak khususnya, tidak terhitung nilainya dan sudah pasti kehilangannya amat dirasai.

“Sebagai Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), beliau adalah seorang tokoh politik yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan menjunjung integriti, bekerja keras bagi kemajuan serta kemakmuran negara dan negeri Sarawak.

“Saya yang secara peribadinya telah kehilangan seorang sahabat baik, berharap seluruh ahli keluarga mendiang agar dapat tabahkan hati menghadapi saat yang menyedihkan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Terdahulu hari ini, media melaporkan Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jangkitan Covid-19 di Pusat Perubatan Pakar Normah di Sarawak, hari ini.

Masing, 72, adalah ahli politik veteran Sarawak yang mewakili DUN Baleh selama lapan penggal sejak 1983.

Mendiang sebelum ini dimasukkan ke hospital tersebut dan perkara itu disahkan sendiri oleh beliau pada 28 September lalu menerusi perkongsian di laman Facebooknya.

Dalam kiriman di laman itu, beliau turut berkongsi fotonya sebelum dibawa ambulans untuk rawatan di HUS selepas mengalami gejala demam, hilang selera makan dan paru-paru berair. – MalaysiaGazette