Cyberjaya – Pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dari keluarga B40 kini boleh memiliki peranti dan akses Internet untuk menjalani pembelajaran yang lebih mampan dengan memiliki sebuah peranti tablet bersama data jalur lebar mudah alih.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, ia akan membantu menyelaras pelaksanaan Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia khusus untuk golongan tersebut.
Pakej ini dibentangkan dalam Bajet 2022 baru-baru ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat terutamanya pelajar IPT mempunyai peranti dan akses Internet pada kos yang berpatutan
Tempoh mendaftar untuk pakej ini dijangka bermula pada suku kedua 2022.
Antara penyedia perkhidmatan mudah alih yang terlibat iaitu Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis Berhad (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) akan bekerjasama untuk memastikan pelaksanaan inisiatif ini berjalan dengan lancar.
Usaha sama kerajaan dan penyedia perkhidmatan memastikan kebolehcapaian digital yang lebih baik untuk Keluarga Malaysia. – MalaysiaGazette