KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa terkilan berhubung pembatalan rayuan Malaysia terhadap tuntutan Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau hairan dengan sikap Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah membuat keputusan itu secara muktamad sebelum ini.
Beliau berkata, terdapat klausa dalam statut penghakiman bagi kes itu yang menunjukkan sekiranya terdapat bukti baharu Malaysia boleh mengemukakannya untuk rayuan.
“Kita telah dapat sekurang-kurang tiga bukti baharu yang jelas dalam Kabinet yang saya pengerusikan ketika itu rayuan keputusan Pulau Batu Puteh itu perlu dilakukan.
“Yang menjadi pelik seribu kali pelik, dua minggu sebelum rayuan ICJ itu Kabinet masa perdana menteri ketujuh pengerusikan tarik balik rayuan ke ICJ.
“Kita dah kalah apa salahnya kita teruskan, boleh jadi kita menang, siapa tahu. Kalau menang kedaulatan negara kita terbela,” katanya menjawab celahan Ahli Parlimen (Pas-Pasir Mas), Ahmad Fadhli Shaari ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, siasatan perlu dilakukan bagi mengenal pasti mengapa rayuan tersebut ditarik balik hingga menimbulkan rasa terkejut kepada Singapura.
Ujarnya, beliau tidak faham dengan keputusan kerajaan terdahulu dan jawapan mengenai perkara itu perlu dicari.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.
Permohonan semakan itu difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting, menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap ia memperoleh kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh daripada Johor.
Dua daripada dokumen itu yang hanya boleh diakses kepada awam selepas ICJ memberikan penghakimannya, juga menunjukkan pegawai Tentera Laut British mengakui perairan di pulau terbabit adalah milik Johor.
Bagaimanapun, pada 9 Oktober lalu, Kabinet mencapai persetujuan supaya pasukan petugas khas diwujudkan bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh. – MalaysiaGazette