Home Nasional Bomba Pahang diberi keutamaan terima dos penggalak

Bomba Pahang diberi keutamaan terima dos penggalak

KUANTAN – Pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang antara barisan hadapan yang diberi keutamaan untuk menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah JBPM Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, keutamaan tersebut diberikan memandangkan Pahang merepakan antara negeri yang akan berhadapan Monsun Timur Laut pada bulan ini.

Katanya, ia bagi melindungi petugas barisan hadapan semasa melakukan tugasan penyelamatan perpindahan banjir dan pengendalian pengurusan urusan kecemasan banjir.

Tambah beliau, pihaknya sedang mengenalpasti pegawai dan anggota yang telah mendapatkan dos vaksin kedua melebihi enam bulan untuk menerima dos penggalak.

“Kita tidak tahu tahap kesihatan mangsa dan ada di kalangan sepasukan semasa melaksanakan tugasan, juga tidak tahu tahap ketahanan imuniti, jadi dos penggalak sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun, di sini, hari ini.

Anggota bomba merupakan antara 500,000 petugas barisan hadapan yang menerima suntikan vaksin Covid-19 pada awal Mac lalu. – MalaysiaGazette