Home Seni Hidup Ibu jaga anak OKU rayu bantuan katil

Ibu jaga anak OKU rayu bantuan katil

Nor Hawani disahkan menghidap sakit tulang belakang membengkok.

KULIM – “Saya terpaksa letak anak di atas lantai berlapik tilam memandangkan kami tidak mampu belikan katil yang ada penghadang untuk dirinya.”

Itu luahan seorang suri rumah yang menetap di Taman Mutiara Fasa 6, Karangan di sini hari ini.

Menurut Jamilah Said, 45, anak sulungnya, Nor Hawani Jefri, 22, mula dikesan menghidap sakit tulang belakang membengkok ketika dia di bangku sekolah rendah lagi.

Jelasnya, dia dan suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mendapatkan rawatan buat anak sulung daripada tiga beradik itu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan di Cheras namun akibat kekangan kewangan mereka menghentikan rawatan.

“Ketika itu dia (Nor Hawani) masih boleh berjalan dan bercakap selain mendapatkan pelajaran di sekolah pendidikan khas namum ketika dia berusia 19 tahun dia tidak mampu berdiri dan mudah terjatuh sendiri.

“Keadaan kesihatannya semakin merosot dan pada Februari lalu dia terus terlantar dan tidak mampu menguruskan dirinya dengan sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Jamilah, selepas terlantar sakit dia dan suami meletakkan Nor Hawani di atas katil bagi memudahkannya menguruskan pemakaian lampin pakai buang serta makan minum gadis itu.

Bagaimanapun, Nor Hawani dilaporkan terjatuh dari katil akibat tiada penghadang ketika ibunya sibuk membuat persiapan untuk memasak.

“Sejak dari itu kami tidak berani letak dia atas katil membuat dia kini terlantar atas lantai berlapikkan tilam.

“Sedih lihat dia terlantar atas lantai begitu tetapi saya dan suami tidak mampu belikan katil kepadanya memandangkan kami sekeluarga hanya mengharapkan pendapatan suaminya sebanyak RM1,500 sebulan untuk menguruskan keluarga termasuk dua lagi anaknya yang masih belajar di universiti serta sekolah menengah.

“Memang kami dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 namun itu cukup untuk membeli susu khas serta lampu pakai buang buat Nor Hawani,” kata Jamilah.

Sehubungan itu, Jamilah memohon bantuan orang ramai termasuk agensi kerajaan untuk mendapatkan katil khas buat anaknya.

Sementara itu, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada Pusat Zakat Kedah berhubung keperluan keluarga berkenaan pada pertengahan Oktober lalu namun belum mendapat sebarang maklum balas.

Aminah.

“Mereka (pusat zakat) memberitahu mereka memerlukan masa kira-kira dua bulan setengah untuk menentukan sama ada pemohon layak atau tidak.

“Saya tidak faham kenapa mereka perlu mengambil masa yang lama untuk semak permohonan sedang semua dokumen perbuatan yang disahkan doktor kerajaan termasuk gambar membuktikan keadaan gadis itu sudah disertakan.

“Kita faham keadaan Covid-19 membuat banyak permohonan perlu diuruskan sebab itu kita tolong permudahkan urusan mereka dengan memberi semua dokumen sokongan tetapi saya kecewa apabila mereka memberitahu ia akan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan bantuan kepada pesakit tersebut,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi ibunya Jamilah di talian 011 2427 8331 atau menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0200441000151617 Nor Hawani Jefri. – MalaysiaGazette