Home Ekonomi 90% rakyat Malaysia akses perkhidmatan kewangan

90% rakyat Malaysia akses perkhidmatan kewangan

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani (kanan) diiringi Muhammad Ibrahim (dua, kiri) mendengar penerangan Pengerusi Melayan Bank, Tan Sri Megat Mohd Nor (tiga, kanan) ketika melawat tapak pameran Karnival Kewangan di Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 JANUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Lebih daripada 90 peratus rakyat Malaysia kini mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang formal, kata Gabenor Bank Negara Malaysia.

Datuk Muhammad Ibrahim berkata, sejumlah 92 peratus orang dewasa mempunyai akaun simpanan dan 98 peratus para pengguna mempunyai akaun pinjaman berbayar.

Menurutnya, tinjauan menunjukkan tahap kepuasan pengguna terhadap perkhidmatan kewangan meningkat daripada 61 peratus pada tahun 2011 kepada 73 peratus pada tahun 2015.

Beliau berharap tahap kepuasan ini meningkat sejajar dengan pelbagai usaha yang telah dijalankan untuk meningkatkan lagi rangkuman kewangan di Malaysia.

Katanya, industri perbankan merupakan sumber utama dana kepada sektor isi rumah dan perniagaan ini termasuk peniaga kecil dan sederhana (PKS), dengan nilai pinjaman berjumlah RM1.5 trilion pada akhir November 2016.

“Memandangkan peranan industri perbankan adalah penting, Bank Negara Malaysia akan terus membangunkan sistem kewangan negara secara progresif serta inklusif. Kita akan memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada ekosistem pembiayaan yang terdapat di negara ini.

“Usaha telah diambil namun kita tidak semestinya berpuas hati dengan pencapaian rangkuman kewangan setakat ini, usaha kita perlu dipergiatkan lagi.

“Ini kerana masih terdapat jurang dalam hal akses kewangan di kalangan masyarakat di Malaysia yang perlu ditangani oleh semua pihak. Bank Negara Malaysia akur dengan pelbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Karnival Kewangan di sini hari ini.

Muhammad berkata, antara isu semasa yang dibangkitkan oleh para peniaga ialah kesukaran PKS dan syarikat baru yang memulakan perniagaan untuk mendapatkan pembiayaan.

Antara faktor yang diutarakan adalah ketiadaan cagaran, ataupun rekod prestasi yang tidak mencukupi, terutamanya bagi perniagaan yang terlibat dalam bidang pertumbuhan baharu. Para pengguna pula menghadapi beberapa masalah.

Isu-isu yang sering dihadapi oleh pengguna kewangan termasuk maklumat salah dimaklumkan kepada pengguna mengenai produk kewangan dan ada pula menjual produk secara paksaan; tidak menghalusi kandungan kontrak dan kekurangan kefahaman tentang terma dan syarat berikutan khidmat nasihat yang kurang telus mengakibatkan pertikaian tentang kadar faedah atau jumlah baki pinjaman atau penyelesaian tuntutan insurans; kekurangan keupayaan dan disiplin kewangan yang lemah dalam mengurus pinjaman mengakibatkan tahap keberhutangan isi-rumah yang tinggi.

Katanya, dalam menangani isu-isu ini, Bank Negara Malaysia serta agensi-agensi lain seperti Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Koperasi, Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN akan terus memberikan tumpuan untuk meningkatkan peranan pembiayaan bukan bank, termasuk pemfaktoran, pajakan serta pembiayaan berasaskan pasaran seperti pembiayaan crowd-funding dan peminjaman P2P (peer-to-peer) sebagai cara pembiayaan alternatif untuk perniagaan kecil yang tidak mempunyai rekod kewangan yang cukup. – MalaysiaGazette