Home Sukan JDT tempah slot suku akhir Piala Malaysia dengan bergaya

JDT tempah slot suku akhir Piala Malaysia dengan bergaya

Penjaga gol Sabah FC Rozaimie Rohim gagal membaca tendangan penalti daripada Pemain JDT Bergson Gustavo Silveira Da Silva pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) menempah slot ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2021 selepas menewaskan Sabah FC 3-0, pada aksi keempat Kumpulan D di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, malam ini.

Dengan rekod empat kemenangan diraih setakat ini, skuad Harimau Selatan menjadi pasukan kedua melayakkan diri ke pusingan kalah mati, mengikut jejak pendahulu Kumpulan C Melaka United FC, yang telah mengesahkan kemaraannya lebih awal.

Pada aksi malam ini, JDT yang masih segar dengan kejayaan 2-0 mengatasi skuad Badak pada pertembungan pusingan pertama saingan kumpulan di Kota Kinabalu, Jumaat lepas, mempamerkan permainan bertenaga seawal wisel permainan dibunyikan.

Skuad bimbinan Benjamin Mora pantas menghukum kealpaan benteng pertahanan Sabah FC yang masih tercari-cari rentak di awal permainan, apabila Leandro Velazquez yang tidak dikawal melepaskan rembatan padu untuk mencetak nama sebagai penjaring pada minit keenam.

JDT terus menguasai perlawanan dengan kawalan bola yang kemas selain hantaran-hantaran pendek dan pantas dalam usaha menggandakan kedudukan, sebelum dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Begson Da Silva pada minit ke-33 selepas bola terkena tangan pertahanan lawan.

Aksi bertenaga terus ditampilkan JDT pada separuh masa kedua tatkala Sabah FC terus buntu mencipta gerakan serangan yang efektif, namun pasukan tuan rumah perlu menunggu sehingga penghujung perlawanan untuk sekali lagi menembusi gawang pasukan pelawat.

Selepas percubaan Muhammad Akhyar Abdul Rashid terkena tiang pada minit ke-85 dan sepakan penalti ‘panenka’ Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-90 gagal menewaskan penjaga gol, Bergson muncul dengan jaringan kedua peribadinya pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Penyerang Brazil itu bijak mencari ruang sebelum menanduk bola sepakan percuma rakan sepasukan Safiq Rahim untuk jaringan ketiga JDT, dan mengesahkan kemenangan 3-0 pasukan di hadapan penyokong sendiri.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan D, Petaling Jaya (PJ) City FC berdepan tentangan sengit Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu yang menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Keputusan itu meletakkan PJ City FC kendalian P. Maniam yang kini berada di tempat kedua dengan mengumpul lima mata di kedudukan yang masih belum selamat dalam perebutan slot ke pusingan suku akhir.

JDT selaku pendahulu Kumpulan D kekal di puncak mengumpul 12 mata, diikuti PJ City FC sementara Kelantan FC dan Sabah FC yang masih memiliki peluang masing-masing di tempat ketiga dan keempat mengutip dua mata. – BERNAMA