KUALA LUMPUR – Genap setahun penubuhan Pertubuhan Amal Tranformasi Malaysia (Arima) yang juga diasaskan oleh dermawan terkenal, Oms P. Thiagarajan pada 4 November lepas.
Hakikatnya penubuhan Arima berterusan dilanda kontroversi kerana ada pihak menganggap ia pertubuhan yang sengaja ditubuhkan untuk menjadi lawan MIC yang merupakan parti terbesar masyarakat India di negara ini.
Sememangnya tanggapan dan analisis ini tidak mengejutkan kerana rata-rata yang menyertai Arima juga bukan calang-calang kerana antaranya pernah memegang jawatan besar dalam MIC dan dalam kerajaan untuk sekian lama.
Antaranya, bekas Setiausaha Agung MIC, Prakash Rao dan Datuk S. Murugesan, bekas timbalan parti, Datuk Seri S. Sothinathan, bekas Ketua Wanita MIC merangkap mantan Ahli Dewan Negara, Sivabagiam selain bekas Pengerusi Negeri dan Bahagian seperti Datuk Hendry Benedict serta Datuk K Basil.
Kebanyakan mereka merupakan pemimpin ketika era Datuk Seri Palanivel menjadi Presiden MIC namun bertindak keluar selepas berlakunya krisis hitam dalam parti berkenaan selepas Datuk Seri S. Subramaniam mengambil alih jawatan nombor itu.
Ketika MalaysiaGazette baru-baru ini menemui pengasasnya, Oms Thiagarajan, dermawan itu membuka bicara tentang Arima yang mempunyai pengertian sedia melakukan amal jariah kepada umum (Aram Seiya Virumbu) yang dipetik dari kitab Atichudi.
Beliau tidak berminat langsung bermain politik mahu pun retorik yang sebenarnya lebih merugikan rakyat di negara ini sebaliknya mahu all out dalam memainkan peranan dalam membantu komuniti India.
“Masa pandemik ini, keadaan menjadi jauh lebih sukar sebenarnya. Komuniti kita, rakyat kita sangat memerlukan bantuan. Selama setahun tertubuhnya Arima, kita tidak sempat untuk mengadakan road tour sebaliknya melakukan amal jariah seluruh negara.
“Itu lebih penting daripada road tour yang kita rancang sebenarnya, semakin ramai yang hendak sertai Arima yang merupakan sebuah platform kepada sesiapa sahaja di luar sana terutamanya bekas pemimpin yang masih lagi mempunyai perasaan empati itu untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
“Sebelum ini, saya lebih aktif dengan Yayasan Oms saya, kerja-kerja dilakukan melalui Yayasan itu namun kita mengorak langkah untuk menjadi lebih aktif, lebih deep dengan politik melalui Arima.
“Persoalan atau spekulasi kononnya Arima ini sengaja ditubuhkan untuk lawan MIC atau menarik pemimpinnya masuk ke Arima ini memang langsung tidak masuk akal langsung, hanya yang licik serta berterusan main politik mengelirukan masyarakat akan mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
“Saya beritahu anda, anda sebagai penulis perlu bersikap neutral dan tidak memihak kepada sesiapa, anda nilai sendiri kenyataan saya.
“Jika MIC bantu 1,000 orang masyarakat India, biarlah kami di Arima juga bantu sekurang-kurangnya 100 orang. Yang dapat manfaat itu adalah masyarakat setempat, komuniti kita. Bukankah lebih seribu orang dapat manfaat?
“Itulah motifnya, kita mengaku MIC adalah parti terbesar dan suara masyarakat India. Kita tidak nafikan peranan dan jasa MIC cuma kita juga hendak menyumbang, itu sahaja,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Ipoh.
Bukan lagi satu rahsia, Oms merupakan sahabat akrab kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama puluhan tahun malah telah bersama-sama menghadapi cabaran serta susah senang bersamanya.
Bagaimanapun Oms juga tidak menafikan ahli Arima yang juga rata-rata mempunyai latar belakang sebagai ahli politik akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 kelak dan berkemungkinan atas kapasiti parti itu memandangan Arima masih lagi sebuah NGO.
“Saya tidak akan sesekali berselindung, politik itu kuasa. Kuasa itu juga yang digunakan untuk menaik taraf kehidupan masyarakat kita, kuasa itu juga yang diperlukan untuk terus melakukan untuk memartabatkan komuniti India di negara ini.
“Malah kita sentiasa dan akan terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan kerana beliau sahabat saya sebaliknya segala jasa, sumbangan, peranan beliau kepada kesleuruhan rakyat kita termasuklah arena antarabangsa. Beliau adalah idola dan segalanya kepada kami semua.
“Tetapi saya telah beritahu semua yang menyertai kami, jangan harap apa-apa balasan atau manfaat sertai kami sebaliknya sertai Arima untuk beramal.
“Bagus sekali kerana yang ada bersama kami adalah golongan pemimpin yang mahu bekerja untuk rakyat, mahu menggunakan pengalaman yang ada untuk terus menyumbang kepada semua.
“Golongan pemimpin dalam Arima bukanlah calang-calang sebaliknya telah banyak menabur bakti kepada masyarakat dan parti mereka sendiri sebelum ini kepada masyarakat namun kini tidak ada platform, meninggalkan parti atau pertubuhan atas pelbagai sebab. Golongan pesara yang mempunyai pengalaman luas serta bakat yang boleh digunakan untuk kebaikan.
“Mereka itulah yang saya ajak masuk Arima, kalau sebelum ini saya gunakan Yayasan Oms bersama-sama kawan-kawan lain kini kami juga mempunyai Arima yang hakikatnya akan membawa pulangan dan maanfat besar kepada masyarakat, itu juga janji saya,” tegasnya.
Dalam pada itu, Oms turut memaklumkan pihaknya kini sibuk membantu mengedarkan pelbagai bentuk dana dan bantuan asas lain termasuklah menyumbang kepada sekolah selain orang perseorangan B40 dan juga pertubuhan yang umumnya terjejas dengan Covid-19.
Untuk makluman, Arima ketika ini mempunyai lebih 16,000 ahli berdaftar seluruh negara dan ribuan lagi menunggu pendaftaran mereka pada masa ini namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membantutkan usaha itu. – MalaysiaGazette