Home Nasional Polis ‘diserang’ penyokong parti di hadapan balai

Polis ‘diserang’ penyokong parti di hadapan balai

MELAKA – Beberapa anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) ‘diserang’ sekumpulan penyokong parti politik dalam satu rusuhan penyokong yang turut melemparkan bom air di hadapan Balai Polis Melaka Tengah, Jalan Banda di sini hari ini.

Suasana hura-hara bermula pukul 10.05 pagi itu bagaimanapun dapat dikawal 10 minit kemudian apabila polis melemparkan gas pemedih mata dan turut ‘menahan’ dua peserta perhimpunan.

Kekecohan itu bagaimanapun hanyalah latihan simulasi yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka bagi menunjukkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, latihan simulasi Public Order Exercise (POX) PRN Melaka itu bertujuan menguji koordinasi dan kesiapsiagaan seramai 3,835 pegawai dan anggota polis yang akan bertugas pada PRN Melaka.

Latihan simulasi yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka menjelang PRN Melaka.

“Polis Melaka sudah bersiap sedia dari segi mengawal kententeraman awam termasuklah jika berlaku rusuhan dengan kekuatan Kontinjen Melaka kita ada 17 pasukan Unit Tempur Ringan (LSF).

“Empat pasukan kita akan letakkan di ibu pejabat, selain di tiga lagi daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah termasuk turut menggunakan Unit Antirusuhan (PORU) Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Simpanan Persekutuan (FRU),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan latihan keselamatan awam, Public Order Exercise (POX) PRN Melaka di Balai Polis Melaka Tengah di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Razali Abu Samah dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.

Mengulas lanjut Abdul Majid menasihati orang ramai, pengundi dan penyokong parti politik supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan sepanjang tempoh PRN Melaka.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN itu adalah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad. – MalaysiaGazette