KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) berpandangan adalah lebih ideal sekiranya setiap negeri membenarkan syarikat penerbangan membuat keputusan berhubung kekerapan jadual penerbangan berdasarkan kepada permintaan pengguna.
Ini bagi memastikan syarikat penerbangan dapat memberikan tawaran harga terbaik untuk pelangan mereka.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, cabaran utama industri penerbangan pada masa ini adalah untuk mengurangkan kadar tambang penerbangan disebabkan kekurangan kekerapan penerbangan domestik ke beberapa destinasi di Malaysia.
Justeru itu, ia perlu ditangani segera tambahan pula Sarawak telah pun meningkatkan kekerapan penerbangan dari 89 kepada 223 penerbangan seminggu mulai 1 November baru-baru ini, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal diumumkan kelak.
Katanya, MOT tidak mahu terlalu membebankan orang ramai sebagai pengguna, khususnya kepada pengguna pengangkutan udara yang sering melakukan perjalanan ke Sabah dan Sarawak atas tuntutan kerja, menuntut pelajaran serta bertemu keluarga setelah sekian lama tidak pulang ke kampung halaman akibat pandemik Covid-19.
”Namun, kita juga perlu mencari keseimbangan antara tawaran tambang terbaik untuk pengguna dan juga mengekalkan industri penerbangan yang kukuh dan mampan,” jelas.
Ka Siong membuat kenyataan ini selepas mengadakan pertemuan dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo hari ini bagi membincangkan beberapa langkah penyelesaian demi memastikan kadar tambang penerbangan kekal tidak membebankan pengguna.
Katanya, sekiranya kerajaan campur tangan dalam menetapkan harga yang terlalu tinggi, tidak mustahil ia akan menyebabkan berlakunya ‘perang harga’ di mana syarikat penerbangan berlumba-lumba sesama mereka dalam suasana yang tidak sihat.
Akhirnya, dalam jangka panjang, tiada siapa pun menjadi pemenang termasuk pengguna apabila syarikat penerbangan tidak mampu lagi mengekalkan operasi mereka.
Sementara itu, para pengguna dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan mendapatkan tiket lebih awal bagi menikmati harga tambang murah.
Sebaik-baiknya, belilah tiket dua minggu lebih awal atau lebih awal daripada itu sebelum berlepas ke destanasi yang ingin dituju, tambah beliau.
Pada masa sama, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Bahagian Udara MOT untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi mencari jalan terbaik menangani tekanan luar biasa susulan peningkatan kos rantaian bekalan termasuk perkhidmatan logistik dan bahan api. – MalaysiaGazette