KUALA LUMPUR – Pendakwaan bagi kes pencemaran Sungai Kim Kim bersambung semula pada 15 November depan di mahkamah Johor Bahru.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan mengharapkan agar perbicaraan kes itu lancar dan dapat mengheret pelakunya ke muka pengadilan.
“Mahkamah telah menetapkan tarikh sambung bicara pada 15 hingga 18 November dan 12 hingga 14 Disember depan.
“Kita berharap perbicaraan kes berjalan lancar. Secara prinsip, kita mahu penjenayah alam sekitar dikenakan hukuman berat dan setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kali terakhir kes itu dibicarakan adalah pada 22 Mac hingga 22 April lalu dengan menghadapkan suspek ke Mahkamah Seksyen Johor Bharu pada 24 Mac lalu.
Perbicaraan bermula pada 3 Disember 2019 dan terus berlangsung sepanjang tahun 2020 dan 2021.
Pada 25 Mac 2019, sebuah kilang pemprosesan tayar terpakai, P Tech Resources Sdn Bhd dan dua lelaki termasuk seorang warga Singapura didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas 15 pertuduhan masing-masing membabitkan kesalahan gagal mematuhi pemantauan udara bersih dan buangan terjadual di Sungai Kim Kim.
Tertuduh, Wang Jing Chao, 34, warga Singapura, dan Yap Yoke Liang, 36, yang juga orang kena saman (OKS) masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Jailani Rahman.
Untuk rekod, pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim 2019 berlaku pada 7 Mac 2019, berpunca daripada pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, Malaysia.
Pencemaran itu mengakibatkan beberapa pelajar dan pekerja kantin dari dua sekolah berhampiran sungai sakit dan mengadu kesukaran bernafas sehingga mereka dihantar ke Hospital Sultan Ismail.
Isu itu semakin memuncak apabila gelombang keracunan air kedua berlaku pada 11 Mac dengan 106 hingga 207 lagi mangsa telah dimasukkan ke hospital sebelum meningkat kepada lebih daripada 1,000 mangsa. – MalaysiaGazette