Home Politik Berganding bahu dengan empat pengkhianat tragis buat PH – Syed Saddiq

Berganding bahu dengan empat pengkhianat tragis buat PH – Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Abdul Rahman mengingatkan Pakatan Harapan (PH) agar tidak bersekongkol dan menerima empat Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka yang didakwa sebagai pengkhianat.

Dalam surat terbukanya kepada PH, Ahli Parlimen Muar itu berkata, Datuk Seri Idris Haron bertindak melompat dari UMNO ke PH semata-mata mahu dinamakan sebagai bakal Ketua Menteri Melaka.

Katanya, Idris secara tiba-tiba melihat UMNO sebagai ancaman kepada rakyat Melaka.

Tegasnya, bekas Ketua Menteri Melaka itu bukan melompat kerana sudah lama menjadi pengkritik UMNO.

“Jadi di sini kita sudah boleh menilai niatnya dari sejak awal lagi, bukan untuk rakyat Melaka dan juga bukan untuk PH.

“Bahkan ada percakapan yang terdedah yang mana Idris memberi bayangan bahawa dia okay dengan UMNO dan Datuk Seri Ismail Sabri serta beberapa individu lain,” katanya.

Syed Saddiq menegaskan, mengkhianti parti dan gabungan sendiri bukan perkara kecil.

Tambahnya, sekali empat ADUN itu mengkhianati mandat rakyat, mereka akan melakukannya sekali lagi dan lagi.

“Jangan sesekali meletakkan diri kita dalam kelompok yang sama sebagai pengkhianat. Penyokong kita berhak mendapat lebih baik daripada ini,” hujah beliau.

Dalam surat terbuka itu, Syed Saddiq turut menggambarkan rasa kesalnya dengan PH kerana gabungan itu memilih untuk bekerjasama dengan ahli politik yang tidak berprinsip daripada sekutu rapat yang setia sepertinya.

“Mereka yang melihat lebih nilai dalam katak politik yang tidak berprinsip sangat-sangat tragis,” katanya lagi.

Soal beliau lagi, jika PH bekerjasama dengan pengkhianat politik, bagaimana cara untuk gabungan itu dapat memperjuangkan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti.

Bagaimana hendak menghukum mereka yang menjayakan Langkah Sheraton sedangkan PH menyokong perkara yang sama.

”Kita mempunyai kewajipan moral untuk bekerjasama dengan niat baik mengumpulkan sekumpulan ahli pembangkang yang bersemangat, bekerja keras dan jujur.

”Adakah kita perlu tiba-tiba berganding bahu dengan pengkhianat? Adakah kita kekurangan calon baharu yang lebih baik?

”Saya sangat percaya blok pembangkang jauh lebih besar daripada bayang-bayang empat pengkhianat itu,” jelasnya.

Oleh itu, beliau menyeru PH supaya membuat keputusan yang betul dan fokus membina United Oppositon. – MalaysiaGazette