KUALA LUMPUR – Seorang individu dikesan mencuri tong sampah milik Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang diletakkan untuk kegunaan awam.
MPS yang amat kesal dengan kejadian yang berlaku pada jam 7 malam di Taman Desa Jaya, Kepong pada 1 November telah membuat laporan polis.
Kejadian itu dikesan hasil pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang.
Untuk makluman, bagi tahun 2021 MPS telah membelanjakan sebanyak RM130,000 untuk menggantikan tong-tong sampah awam yang telah rosak akibat vandalisme dan juga hilang akibat dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
MPS akan terus melakukan pemantauan terhadap aktiviti kecurian dan vandalism dan tindakan akan diambil kepada individu yang didapati melakukan perbuatan tersebut.
MPS mengingatkan semua kemudahan awam yang disediakan adalah untuk kegunaan bersama dan orang ramai haruslah lebih bertanggungjawab agar kemudahan ini dapat dimanfaatkan bersama.
“Kami juga ingin menyeru orang ramai agar menjadi mata dan telinga MPS dan membuat laporan jika melihat pelakuan tidak bertanggungjawab ke atas kemudahan awam milik MPS,” katanya di sini.
Dalam pada itu, hasil pemeriksaan MPS pada 28 Oktober 2021 yang lalu, sebuah kilang telah diarahkan tutup setelah didapati terdapat tempat pembiakan nyamuk di sekitar premis kilang tersebut.
Hasil pengecaman larva nyamuk dari premis yang diperiksa didapati ianya daripada spesis nyamuk Aedes yang boleh menyebabkan demam denggi.
Premis ini telah diarahkan tutup bermula 1 hingga 14 November 2021 untuk tempoh 14 hari, supaya kerja-kerja pembersihan boleh dijalankan sehingga premis ini tidak lagi boleh membiakkan atau menjadi tempat kepada serangga pembawa penyakit.
Operasi penutupan ini dibuat dibawah Seksyen 8, Sub Seksyen 3(a) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan) 2000.
Unit Kawalan Denggi MPS seterusnya akan memantau secara berkala sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan pemilik
mematuhi syarat yang ditetapkan sebelum premis dibenarkan untuk beroperasi semula.
Secara kumulatif dari Januari hingga September 2021 sebanyak 1695 kes denggi telah direkodkan melibatkan satu kematian dan tiga kawasan hotspot telah dikenalpasti di seluruh kawasan pentadbiran MPS.
Orang ramai dinasihatkan untuk memberi perhatian serius dengan meningkatkan tahap kebersihan serta melakukan aktiviti pencegahan seperti
memastikan tiada bekas atau tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk Aedes ditinggalkan di persekitaraan masing-masing. – MalaysiaGazette