Home Pendapat Manisnya sehingga ke gusi: Diabetes dan periodontitis

Manisnya sehingga ke gusi: Diabetes dan periodontitis

Gambar hiasan

TANGGAL 14 November setiap tahun, Persekutuan Diabetes Antarabangsa (International Diabetes Federation, IDF) menyambut hari Diabetes sedunia sempena ulang tahun kelahiran Frederick Banting, ketua pasukan penyelidik yang menemui insulin pada tahun 1922. Tema sambutan setiap tahun bertumpu kepada pada isu-isu berkaitan dengan penjagaan diabetes dalam usaha memerangi penyakit ini. Bagi tempoh 2021-2023 tema sambutan adalah ‘Akses kepada rawatan Diabetes’ (Access to Diabetes Care).

Diabetes adalah masalah kesihatan awam yang serius di negara kita. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2019 mendapati 1 dari 5 rakyat Malaysia atau 3.9 juta penduduk dewasa menghidap diabetes. Dari jumlah tersebut, hampir 9% tidak menyedari bahawa mereka menghidap diabetes dan kemungkinan besar tidak menyedari tanda awal diabetes yang dialami. Selain dari masalah merasa haus, kerap kencing, kehilangan berat badan tanpa usaha, masalah penglihatan serta rasa kebas di tangan dan kaki, tidak ramai mengetahui bahawa masalah gusi (Periodontitis), rasa tidak selesa semasa mengunyah dan nafas berbau (halitosis) juga merupakan petanda penyakit diabetes.

Periodontitis adalah salah satu daripada komplikasi diabetes. Kajian Kesihatan Oral Kebangsaan 2010 (NOSHA) menganggarkan hampir separuh (48.5%) dari warga Malaysia
berumur 18 tahun ke atas menghidap masalah periodontitis, jauh lebih ramai dari bilangan pesakit diabetes. Tidak ramai rakyat Malaysia mengetahui hubungan dua hala antara diabetes  dan kesihatan mulut. Diabetes sukar dikawal sekiranya pesakit mempunyai masalah gusi atau periodontitis manakala masalah periodontitis menjadi lebih teruk apabila diabetes pesakit tidak dikawal dengan baik.

Semua pesakit yang disahkan menghidap diabetes disarankan menjalani saringan kesihatan mulut secara berkala, manakala pesakit yang mengalami masalah gusi atau periodontitis perlu menjalani saringan untuk memastikan mereka tidak mempunyai diabetes atau berada di fasa pradiabetes. Pradiabetes adalah peningkatan tahap gula dalam darah lebih dari normal tapi belum cukup tinggi untuk dikategorikan sebagai diabetes. Sekiranya disahkan berada di tahap pradiabetes, rawatan pencegahan boleh dimulakan awal untuk mengelakkan penularan dan komplikasi diabetes.

Pesakit yang disahkan menghidap diabetes dan periodontitis perlu menerima rawatan yang optima bagi membantu mengawal paras gula dalam darah secara lebih berkesan, dan seterusnya mengelakkan komplikasi seperti angin ahmar/strok, sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan sebagainya. Hampir dua pertiga dari jumlah pesakit diabetes di negara ini mendapatkan rawatan dari klinik kesihatan, hospital kerajaan serta hospital universiti yang mempunyai akses kepada perkhidmatan pergigian. Jaringan ini dilihat sangat sesuai untuk rawatan komprehensif bagi semua pesakit diabetes.

Walau bagaimanapun, wabak COVID-19 telah menimbulkan cabaran serta mengganggu penyampaian perkhidmatan kesihatan awam. Separuh daripada perkhidmatan penjagaan kesihatan primer untuk penyakit kronik termasuk diabetes telah terkesan kerana terpaksa memberi laluan memerangi wabak COVID-19. Secara amnya,  akses kepada rawatan diabetes yang optima dan komprehensif telah banyak terjejas dan implikasi jangka panjangnya dijangka membebankan bukan sahaja pesakit malah sistem kesihatan awam. Kajian tempatan yang dijalankan di kalangan pesakit diabetes semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) baru-baru ini mendapati bahawa 55.7% mengalami masalah kesihatan mulut.

Keadaan ini menjadi bertambah buruk apabila klinik pergigian hanya dapat menerima rawatan kecemasan pada waktu itu. Rawatan bagi pesakit Periodontitis juga turut terjejas dan kemungkinan keadaan penyakit menjadi bertambah buruk apabila rawatan terpaksa ditunda. Bagaimanapun, kadar vaksinasi populasi Malaysia yang semakin meningkat dan pengurangan kes-kes COVID-19 yang serius dilihat telah berjaya mengurangkan beban ke atas sistem kesihatan negara. Perkhidmatan kesihatan kini dapat kembali membantu pesakit kronik seperti diabetes untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan yang telah tertunda.

Oleh yang demikian, pesakit diabetes perlu memastikan kesihatan mulut mereka sentiasa terjaga. Ini dapat dicapai dengan amalan penjagaan kesihatan mulut yang baik dan dengan mendapatkan pemeriksaan berkala dari doktor pergigian yang bertauliah setiap enam bulan. Amalan kesihatan mulut yang baik bukan sahaja dapat mengawal gejala periodontitis seperti gusi bengkak dan berdarah, kesakitan, atau nafas berbau, ia juga dapat mempengaruhi tahap gula dalam darah supaya kekal pada tahap terkawal. Semua pesakit diabetes dan periodontitis dinasihatkan untuk berbincang dengan pengamal perubatan dan pergigian anda tentang pengaruh kesihatan mulut dan kawalan gula dalam darah.

Sila layari https://www.senyumanis.my untuk maklumat lanjut tentang kesihatan mulut dan penjagaan diabetes.

Profesor Madya Dr Aznida Firzah Abdul Aziz
Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Keluarga

Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Dr Haslina Rani
Pakar Kesihatan Awam Pergigian, Jabatan Kesihatan Pergigian Keluarga
Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia
Setiausaha, Persatuan Pakar Kesihatan Awam Pergigian Malaysia