KUALA LUMPUR – Pertubuhan Amal Tranformasi Malaysia (Arima) yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat India menyambut ulang tahun pertama hari ini.
Ia memberi makna cukup mendalam kepada Arima kerana sambutan itu jatuh pada Hari Deepavali.
Pengasasnya, Oms Pa Thiagarajan berkata, beliau bersyukur dengan pencapaian Arima dalam tempoh setahun ini.
Jelas Oms, walaupun perancangan awal Arima untuk melakukan ‘road tour’ bagi memberi pendedahan dan penjelasan berkaitan Arima kepada orang ramai namun ia tidak berjalan seperti dirancang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tetapi itu langsung tidak halang Arima untuk terus menyumbang dan turun membantu golongan terjejas pandemik seluruh negara. Semua ada hikmahnya, masyarakat mencari Arima tanpa kita memberikan penjelasan atau pendedahan tentang pertubuhan ini.
“Berpaksikan moto ‘Sedia Beramal’ atau dalam bahasa Tamilnya, ‘Aram Seiya Virumbu’ yang membawa maksud amal, Arima sememangnya lebih menjurus ke arah itu dan itu juga mengapa rata-rata ahli kita semuanya dalam kalangan bekas pemimpin politik atau pesara dengan jawatan tinggi juga pimpinan dari kalangan NGO, katanya yang lebih dikenali sebagai Oms kepada MalaysiaGazette.
Tambah beliau, kini pertubuhan itu mempunyai lebih 16,000 ahli dan pihaknya menjangka bilangan tersebut akan bertambah.
Arima berterusan dilanda kontroversi kerana ada pihak menganggap ia ditubuhkan untuk menjadi lawan MIC memandangkan terdapat ahlinya pernah jawatan besar dalam parti politik itu dan kerajaan.
Antaranya, bekas Ahli Dewan Negara, Bharat Maniam yang kini merupakan Naib Presiden Arima; bekas Setiausaha Agung MIC, Prakash Rao dan Datuk S. Murugesan dan bekas Naib Presiden MIC, S. Sothinathan.
Kebanyakan mereka merupakan pemimpin ketika era Datuk Seri Palanivel menjadi Presiden MIC bertindak keluar parti selepas Datuk Seri S. Subramaniam mengambil alih jawatan nombor.
Sebelum ini, Oms menafikan Arima ditubuhkan untuk menentang MIC, sebaliknya pertubuhan itu disertai kerana mahu membantu masyarakat India.
“MIC masih suara masyarakat India, MIC juga masih parti terbesar komuniti India. Saya tidak nafi malah tidak berminat untuk lawan atau mendabik dada.
“Saya tidak pernah galakkan sesiapa dari parti itu mahupun parti-parti lain termasuklah parti politik disokong oleh kami, PKR untuk lompat masuk sini,” katanya. – MalaysiaGazette