KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Johor menggesa kerajaan supaya meneliti keperluan pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 sebagai langkah memudahkan kelangsungan hidup rakyat bawahan.
Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, gesaan ini bukanlah satu “political mileage” Pemuda UMNO, sebaliknya, ia adalah soal kehidupan rakyat di bawah yang sanagat memerlukan, lebih-lebih lagi kepada mereka yang tinggal di tengah bandar dan kota raya.
“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berharap kerajaan dapat mendengar nadi dan suara rakyat yang memerlukan, berilah mereka sinar untuk meneruskan kehidupan.
“Kami mohon di dalam perbahasan di Parlimen yang sedang berlangsung, semua Ahli Parlimen dapat meluahkan dan menyatakan permohonan untuk tindakan perdana menteri serta menteri kewangan,” katanya menerusi kenyataan.
Mohd Hairi berkata, secara ringkasnya Belanjawan 2022 yang diumumkan baru-baru ini menggariskan kepada tiga matlamat induk iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Ekonomi dan Ketahanan Ekonomi selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di samping beberapa pakej pemulihan ekonomi sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, masih ada suara-suara dan luahan daripada masyarakat di bawah yang ternanti-nanti dengan pengumuman mengenai pengeluaran i-Citra dan kecewa selepas mendapati tiada perkembangan mengenainya.
“Ramai yang memerlukan wang tersebut bagi menampung bayaran tunggakan pinjaman yang semakin hari semakin bertambah.
“Ada yang memerlukannya bagi membayar wang sewa rumah yang tertunggak sehingga diarah keluar dari rumah, ada juga yang memerlukan bagi melunaskan tunggakan tiga bulan ansuran kenderaan, malah ada yang merintih bantuan sekali beri RM300 tidak cukup menampung kehidupan dirinya dan keluarga ekoran diberhentikan kerja,” ujar beliau lagi.
Jelas Mohd Hairi, keadaan itu adalah realiti masyarakat di bawah dan percaya banyak aduan dan rintihan sama didengar bukan sahaja di Johor Bahru atau daerah lain di Johor, malah seluruh negara.
“Rakyat di bawah ini sedang mengalami situasi sama, malah mungkin ada yang lebih teruk tanpa kita sedari,” katanya. – MalaysiaGazette