Saudara pengarang,
Tahun ini adalah tahun yang sangat penting dan sementara anda sedang membaca artikel ini, Persidangan Ke-26 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) sedang berlangsung di Glasgow, United Kingdom yang mana dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dunia daripada hampir 200 buah negara keahlian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membincangkan dan membentuk strategi pengurusan kesan perubahan iklim terutama dalam mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) di peringkat global. Baru-baru ini juga Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan hasrat kerajaan Malaysia untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sebanyak 45 peratus dan mencapai kadar sifar seawal-awalnya pada tahun 2050.
Sebagai sebuah negara membangun dan mempunyai majoriti daripada populasinya adalah golongan muda, Malaysia adalah antara negara yang paling terdedah kepada krisis iklim. Oleh itu, tindakan yang cekap dan efisyen adalah diperlukan untuk memastikan kesediaan negara bukan hanya untuk memitigasi malah untuk turut mengadaptasi kesan-kesan perubahan iklim. Penting juga untuk difahami oleh semua pihak bahawa sekiranya tindakan yang pantas tidak diambil, kita bakal mengalami impak yang jauh lebih teruk daripada sekarang seperti peningkatan suhu global yang melampau dan peningkatan paras air sehingga boleh menenggelamkan sebahagian daripada dunia menjelang tahun 2050 seperti yang dilaporkan oleh Centre for Governance and Political Studies (Cent- GPS) pada tahun 2019.
Sejak had umur belia diturunkan daripada 40 kepada 30 tahun, pelbagai isu yang telah dibangkitkan termasuklah hak mengundi, keterlibatan dalam politik, dan kadar pengganguran. Antara isu lain yang makin lama makin hebat diperjuangkan bukan hanya oleh anak-anak muda di Malaysia malah di peringkat global adalah penglibatan belia dalam isu-isu alam sekitar terutama dari segi sokongan berbentuk kelengkapan skil dan kemahiran, pendanaan serta penglibatan secara langsung dalam proses mengambil keputusan. Pada bulan September yang lepas, saya telah terpilih untuk mewakili Malaysia ke Program Youth4Climate di Milan, Itali yang dihadiri oleh hampir 400 orang belia daripada sekurang-kurangnya 200 buah negara seluruh dunia. Persidangan ini telah diadakan bagi memberi ruang kepada anak-anak muda untuk meneliti tindakan-tindakan yang telah diambil di peringkat rantau dalam mengatasi isu perubahan iklim dan membentuk sebuah dokumen yang mengandungi tuntutan yang telah diserahkan kepada wakil-wakil dunia yang sedang menghadiri COP26.
Tuntutan kami adalah berteraskan 4 tema utama iaitu memacu cita-cita, pemulihan mampan, penglibatan iklusif, dan pembentukan masyarakat yang cakna alam sekitar. Antara tuntutannya adalah penglibatan belia dalam proses membuat keputusan, peralihan segera kepada tenaga boleh diperbaharui, peningkatan kapasiti untuk penglibatan belia dalam penggubalan dasar-dasar iklim, ketelusan dalam menguruskan sistem kewangan dan pembiayaan iklim dan integrasi pendidikan kesedaran alam sekitar dan perubahan iklum dalam kurikulum kebangsaan. Selain menjadi sebuah platform yang sangat baik untuk meluaskan rangkaian aktivis daripada seluruh dunia dan membolehkan kami untuk bertukar idea dan pendapat dari pelbagai perspektif, program ini adalah bukti yang menunjukkan kekuatan pergerakan belia di peringkat global dan bahawa golongan muda sanggup untuk melangkah ke hadapan dan bersedia membantu para pemimpin untuk menghadapi krisis ini.
Namun, adalah adakah mereka sedia mendengar suara anak-anak muda? Adakah mereka sedia untuk berganding bahu bersama golongan muda dan duduk sama rendah dan sama tinggi mengatasi isu yang menjadi semakin parah ini? Saya berpendapat bahawa sudah terlalu lama kita berbincang, berbahas dan berunding mengenai isu-isu alam sekitar, saya juga amat pasti bahawa sudah banyak strategi dan cara-cara menangani telah dikumpul daripada kesemua perbincangan yang kita lakukan selama bertahun lamanya dan juga hasil-hasil kajian saintifik yang menunjukkan betapa serius dan memerlukan sebuah tindakan yang agresif bagi mengelakkan daripada kesan-kesan perubahan iklim tidak bertambah teruk. Persoalannya hanyalah sekiranya kita mahu mengambil tindakan atau tidak sahaja dan kita tidak mempunyai masa yang banyak. Adakah selepas sudah terhantuk baru mahu tengadah? Adakah hanya apabila sudah ramai kehilangan tempat berteduh dan tidak lagi ada udara dan air yang bersih baru akan diambil tindakan?
Sebagai contoh, Laporan Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) yang dikeluarkan pada bulan Ogos yang lepas menunjukkan krisis iklim global sedang menjadi semakin teruk. Laporan itu juga turut menekankan bahawa suhu global boleh meningkat sebanyak 1.5 darjah Celsius dalam beberapa dekad akan datang sekiranya pelepasan gas rumah hijau akibat daripada aktiviti manusia tidak dikurangkan dengan serta merta. António Guterres, Setiusaha Agung PBB dalam sebuah kenyataan berkata bahawa laporan tersebut adalah kod merah bagi kemanusiaan yang bermaksud fakta-fakta yang dikumpulkan dalam laporan yang diterbit setiap enam ke tujuh tahun itu menunjukkan kelangsungan hidup manusia berada dalam keadaan yang sangat genting. Kita sudah mengalami keadaan cuaca yang melampau, peningkatan suhu global yang ketara, kenaikan paras laut, kehilangan spesies hidup, kejadian bencana alam yang lebih kerap, penyebaran penyakit dan banyak lagi.
Situasi ini mengingatkan saya semasa di universiti apabila mempelajari tentang haiwan-haiwan yang diancam kepupusan, melihat kepada apa yang sedang berlaku sekarang memberi saya gambaran umpama kita juga sedang diambang kepupusan kerana jika isu perubahan iklim tidak ditangani dengan sebaiknya hari ini, kemungkinan besar tidak akan ada hari esok bukan untuk generasi masa depan sahaja tetapi untuk kita juga. Hal ini kerana kita harus faham bahawa apa yang kita hadapi sekarang adalah akibat daripada kecuaian dan kekhilafan kita bukan sejak setahun dua tetapi sejak beberapa dekad yang lalu. Ia juga merupakan amaran yang jelas tentang apa yang boleh berlaku jika kita membenarkan krisis iklim ini berterusan sehingga menjadi lebih teruk. Jika kita mengamati perkara ini dari sudut yang berbeza, sepertimana kita sebut setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya, begitu jugalah keadaan kritikal yang kita sedang lalui kini juga memberi suatu harapan untuk mula melakukan sebuah anjakan transformasi bagi mengurangkan kesan-kesan perubahan iklim.
Oleh itu, tahun ini kita mempunyai sebuah pilihan yang sangat penting untuk dilakukan. Mengapa saya sebut pilihan adalah kerana perubahan tidak akan berlaku tanpa kehendak politik, kestabilan ekonomi, sokongan dasar yang efektif dan kesepakatan serta kerjasama oleh semua pihak. Harapan saya adalah untuk melihat langkah kerajaan Malaysia yang lebih progresif dan terus komited untuk melakukan perubahan. Seruan saya kepada pihak kerajaan juga agar mewujudkan sebuah mekanisme yang membolehkan keterlibatan masyarakat Malaysia dengan lebih menyeluruh khususnya golongan belia dari segi penyediaan platform untuk bersuara, akses kepada pendidikan kesedaran alam sekitar, dan ruang serta mengiktiraf kedudukan anak-anak muda untuk menyumbang idea dan tenaga dalam tadbir urus perubahan iklim. Masa depan dunia di tangan kita!
Mogesh Sababathy
Finalis Anugerah Belia Komanwel 2021, Pengasas Bersama Projek Ocean Hope, Wakil Malaysia ke Youth4Climate, Milan