KUALA LUMPUR – Pengacara dan personaliti popular tanah air, Datuk Aznil Nawawi menghormati pendirian serta hak individu yang menolak divaksin atau ada disebut sebagai antivaksin dan prosafe.
Beliau yang mesra disapa Pak Nil berkata, lagipun prosedur pelalian atau vaksinasi itu tidak diwajibkan kerajaan.
“Ia hak masing masing. Saya hormat. Daripada awal lagi kerajaan pun tak paksa sama ada nak ambil vaksin atau sebaliknya. Tapi bila keluar dakyah salah bertentangan sains atau propaganda daripada segelintir golongan berkenaan, itu yang tak syok.
“Mungkin sebaiknya golongan itu tidak terlalu lantang di media sosial. Tapi ia hanya pandangan rawak saya saja kerana zaman media sosial beraja ini ramai tegar bersuara,” katanya.
Pemenang 10 kali kategori Pengacara TV Lelaki Popular sejak 2003 hingga 2010 itu
turut meminta golongan yang tak mahu divaksin tidak perlu mengeluarkan dakyah tertentu.
Manakala mereka yang memilih vaksin jangan pula bermusuh dengan mereka.
”Kita cuba lindungi mereka. Majoriti akan menang melawan minoriti. Insya-Allah.
“Kita sudah bergelut melalui era Covid-19 ini. Cukup… cukuplah derita itu. Tak perlu kita tambah dengan pertelagahan prinsip mahu divaksin atau sebaliknya,” katanya yang sudah lengkap dua dos vaksin.
Tambahnya lagi, negara pun sudah mencapai lebih 95 peratus populasi dewasa telah lengkap dos suntikan vaksin. – MalaysiaGazette