KUALA LUMPUR – Seperti dijangka, juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menempah slot suku akhir lebih awal ketika aksi peringkat kumpulan masih berbaki dua perlawanan selepas menumpaskan Sabah 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim.
Bukan sekadar meraih kemenangan seratus peratus, malah benteng JDT menjadi pasukan paling kebal setakat ini apabila belum melepaskan sebarang gol dalam tempoh empat perlawanan lalu.
Jaringan pembukaan Leandro Velazquez pada minit keenam dan dua jaringan daripada Bergson da Silva, setiap satu di separuh masa, meletakkan JDT antara pasukan perlu diberi perhatian pada kejohanan TM Piala Malaysia 2021.
Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, mengakui Sabah telah memberikan tentangan yang baik namun jaringan awal Leandro pada minit keenam telah memberikan sedikit kelebihan buat mereka dalam mencorakkan taktikal.
“Kami berjaya mengawal permainan dalam setiap separuh masa biarpun Sabah hadir dengan begitu tersusun selain punyai kecergasan yang baik untuk berikan saingan.
“Bagaimanapun, mungkin tuah sedikit memihak kepada kami apabila berjaya mendapatkan jaringan awal terlebih dahulu sekali gus memberikan pemain-pemain untuk bersikap lebih tenang dalam mengawal permainan.
“Di separuh masa kedua, pemain gantian yang dibawa masuk berjaya meneruskan rentak sama dan tidak banyak pertukaran dari segi corak permainan kami lakukan malah saya gembira dengan Bergson yang dapat menjaringkan dua gol.
“Sabah baharu mendapat jurulatih dan sudah pasti dia memerlukan sedikit masa seperti mana jurulatih lain untuk membawa pasukan ini ke tahap lebih baik.
“Apa-apapun, saya berpuas hati dengan tiga mata dengan kehadiran penyokong buat pertama kali dan saya percaya ini hanyalah permulaan buat kami, ” katanya. – MalaysiaGazette