KUALA LUMPUR – Pengilang dan pengeluar produk minyak dan lemak harus
memanfaatkan kemudahan loji rintis dan makmal canggih Lembaga Minyak Sawit
Malaysia (MPOB) dan juga kepakaran penyelidikan dan pembangunannya dalam
pembuatan minyak dan lemak.
Ketua Pengarah MPOB Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir berkata, MPOB telah
melabur dengan banyak dalam loji-loji rintis tersebut yang kebanyakannya terletak di
ibu pejabatnya di Bangi.
Penyelidik MPOB menawarkan kepakaran mereka dalam pembangunan produk
makanan berasaskan minyak sawit dari aspek formulasi, pemprosesan dan
pemeliharaan semasa penyimpanan dan pengangkutan.
Di samping itu, kepakaran mereka termasuk memperbaiki produk berasaskan minyak sawit bagi pengeluar yang sedia ada.
“Loji perintis dan kemudahan makmal MPOB juga disewakan kepada pengeluar
untuk penyediaan sampel produk makanan berasaskan minyak sawit untuk
pengembangan pasaran atau percubaan formulasi baru atau menambahbaik
formulasi.
”Kemudahan ini juga berguna untuk pengeluar minyak dan lemak untuk
memformulasikan dan pengoptimuman proses,” kata Ahmad Parveez.
Loji rintis Perfector mampu menghasilkan marjerin berasaskan minyak sawit,
termasuk marjerin meja lembut, marjerin bata, marjerin kek, dan marjerin untuk
pastri; lelemak cecair dan pepejal; serta ghee sayur-sayuran.
“Pengilang makanan dari Syria, Pakistan, India, Turki, dan Sweden telah
menggunakan formulasi makanan berasaskan minyak sawit yang dibangunkan oleh
penyelidik kami. Formulasi ini terutamanya adalah produk seperti marjerin, minyak
kelapa sawit, minyak sayur, ghee sayur (Vanaspati), pengganti lemak haiwan dan
lemak konfeksi,” tambah beliau.
MPOB juga mengadakan kursus praktikal pembuatan marjerin untuk peserta
tempatan dan asing, yang memberikan mereka pengalaman langsung dalam
menggunakan formulasi minyak sawit untuk pelbagai produk lemak.
Ahmad Parveez berkata, penubuhan kilang perintis dan kemudahan makmal
akan membantu memperhebatkan usaha MPOB untuk pengkomersialan dan
meningkatkan mekanisma dan infrastruktur yang sedia ada yang dapat
meningkatkan hubungan dengan industri dan bakal pengguna di masa akan datang.
Beliau menambah, MPOB sedang dalam proses membangunkan kemudahan dan
perkhidmatan R&D untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan syarikat pemula
dalam teknologi di Malaysia yang seterusnya dapat menjadi agen untuk menceburi
pasaran yang lebih besar.
Loji rintis itu juga merupakan salah satu strategi untuk merealisasikan potensi penuh MPOB sebagai agensi pembangunan dan penyelidikan yang menjadi pelopor dalam beberapa inovasi dan mempunyai rekod prestasi yang cemerlang. – MalaysiaGazette