KUANTAN – Seorang remaja lelaki yang menjadi penghantar kurier maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta milik seorang peniaga Pakistan ketika keluar dari persimpangan jalan pada tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, nahas berlaku di persimpangan Lorong Pandan Damai berhampiran restoran makanan segera di Taman Tas, dekat sini.
Ketika kejadian, pemandu kereta itu dari arah Batu 8 Jalan Kuantan-Maran hendak menghala ke Taman Tas.
“Setibanya di lokasi kejadian ketika pemandu sedang bergerak lurus, tiba-tiba dia terlanggar motosikal mangsa yang keluar dari simpang di sebelah kiri secara mengejut.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang tidak memberi laluan ketika keluar simpang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Mangsa berusia 18 tahun telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan bedah siasat akan dijalankan selepas mendapat keputusan ujian calitan Covid-19.
Manakala hasil semakan saman polis mendapati pemandu tersebut mempunya rekod saman lampau sebanyak tujuh kali pandu laju.
Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.- MalaysiaGazette