Home Sukan Sukan Paralimpik: Ziyad terbukti lewat sampai ke bilik menunggu

Sukan Paralimpik: Ziyad terbukti lewat sampai ke bilik menunggu

Reaksi atlet paralimpik Malaysia, Muhammad Ziyad Zolkefli tiba selepas beraksi pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam acara lontar peluru lelaki F20 di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Bukti menunjukkan haguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli memang lewat tiba di bilik menunggu sehingga penyertaannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan.

Jawatankuasa Siasatan Dalaman membuat rumusan itu dalam laporan yang diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal berkata, jawatankuasa siasatan yang dipengerusikan Tan Sri Borhan Dolah itu mendapati jurulatih dan atlet berkenaan tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu yang ditetapkan untuk pendaftaran di bilik menunggu biarpun kedua-duanya menganggap mereka tiba tepat pada waktunya.

“Walaupun terpaksa menerima keputusan yang dibuat oleh Olahraga Para Dunia (WPA) bagi isu Ziyad, pihak persatuan Olahraga Para Malaysia dan Majlis Sukan Negara akan tetap mengemukakan pandangan Malaysia ekoran kekeliruan peraturan teknikal Para Olahraga khususnya mengenai peraturan ‘Did Not Start’ (DNS) yang dikenakan kepada atlet para olahraga.

“Seperti kita sedia maklum, pegawai teknikal menegaskan Ziyad dan dua atlet lain iaitu dari Australia dan Ecuador melewati tempoh masa melaporkan diri tetapi masih dibenarkan beraksi,” kata Ahmad Faizal.

Ahmad Faizal, berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius isu berkenaan dan mahu semua pihak harus lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.

“Meskipun sedemikian, lontaran yang dibuat oleh Ziyad di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan dihargai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain Borhan yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jawatankuasa Siasatan Dalaman itu turut dianggotai dua lagi panel iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salim Parlan dan ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil.

Seramai 10 individu dipanggil bagi membantu siasatan antaranya Ziyad, jurulatihnya Mohd Faizol Harun dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang juga ketua kontinjen negara ke Paralimpik Tokyo, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Ziyad terlepas emas dan rekod dunia yang dilakukannya di Tokyo pada 31 Ogos lalu dengan catatan 17.94 meter (m) selepas penyertaannya diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula) susulan protes yang dilakukan Ukraine disebabkan kelewatannya tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Bagaimanapun, Ziyad dan Faizol sebaik tiba di tanah air ketika menceritakan semula detik ‘hitam’ yang berlaku di Stadium Olimpik Tokyo itu menegaskan yang mereka mereka tiba di bilik menunggu tepat pada masanya iaitu jam 5.55 petang seperti yang ditetapkan dalam peraturan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pingat emas Muhammad Ziyad ditarik semula