Home Seni Hidup Belia disaran ceburi bisnes burger

Belia disaran ceburi bisnes burger

kolaborasi Syukor Burger bersama Murtadha Dakwah Centre dalam melahirkan usahawan burger.

KUALA LUMPUR – Golongan belia berpeluang untuk menceburi bidang perniagaan burger dengan hasil kolaborasi jenama burger popular, Syukor Burger bersama Murtadha Dakwah Centre (MADAD).

Ketua Pegawai Eksekutif Super Dagang yang juga pengasas Syukor Burger, Syukor Majid berkata, jalinan kerjasama bersama MADAD itu wujud sebagai usaha memperjuangkan jihad dalam Islam.

Jelas beliau, bukan setakat berniaga burger malah pihaknya akan melatih para usahawan muda dengan memberi latihan awal berniaga dan menguruskan perniagaan.

“Sasaran saya untuk melahirkan empat ke lima ribu francais seluruh negara.

“Kami juga akan memberi tunjuk ajar bermula daripada membuat roti, ‘patty’, sos dan mayonis,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman dilakukan bersama antara Super Dagang Syukor  dan MADAD di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Turut berlangsung, majlis pembukaan Syukor Burger X MADAD di Murtadha Dakwah Centre.

Sementara itu, Pengarah Urusan MADAD Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof berkata, jalinan kerjasama ini bakal membantu usahawan lain yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dengan membantu mereka mencipta peluang perniagaan baharu.

“MADAD mensasarkan seribu francais bermula di daerah Kuala Muda menjelang akhir tahun ini.

“Peluang berniaga burger ini turut diberikan kepada kakitangan MADAD sendiri dalam menambah pendapatan mereka selain menjalankan kerja sukarelawan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette