Home Nasional ‘Kapcai’ RM1 rezeki bapa tunggal empat anak

‘Kapcai’ RM1 rezeki bapa tunggal empat anak

Shikh Muhammad Makhdad (kanan) menerima RM1 daripada Nurazam sebagai simbolik akad menjual motosikal jenis Suzuki Smash.

MELAKA – Hanya genangan air mata sebak tergambar di wajah bapa tunggal apabila terpilih membeli motosikal terpakai berharga RM1 yang diibaratkan rezeki buat empat anaknya yang masih kecil.

Nurazam Ahmad, 32, berkata, pada awalnya dia sama sekali tidak percaya ada pihak yang sudi menjual motosikal ‘kapcai’ jenis Suzuki Smash itu hanya pada harga RM1.

“Kakak yang minta saya cuba nasib membeli motosikal ini selepas terlihat iklan di Facebook kerana kasihan melihat saya dan empat anak yang masih kecil berusia empat hingga sembilan tahun berhimpit menaiki motosikal milik bapa.

“Malah, untuk ke kebun mengambil upah menanam sayur dengan gaji RM50 sehari, saya akan bergilir-gilir berkongsi motosikal Honda EX5 milik bapa, Ahmad Buang, 70, sejak lima tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Nurazam, dia bagaimanapun tidak menyangka apabila dihubungi penderma motosikal berkenaan, Shikh Muhammad Makhdad Harun, 48, beberapa hari kemudian untuk ‘menjual’ motosikal berkenaan kepadanya.

“Waktu itu, Allah sahaja yang tahu perasaan sebak dan gembira yang tidak terhingga apabila mengenangkan lebih bebas untuk bergerak melakukan kerja-kerja kampung tanpa perlu berkongsi motosikal dengan ayah.

“Sejak lima tahun lalu, saya bergilir-gilir meminjam motosikal ayah untuk ke kebun apabila dia tidak keluar bekerja sekaligus menghadkan usaha saya mencari rezeki di tempat lain.

“Tapi selepas ini, jika tidak ke kebun, bolehlah saya bawa motosikal pusing di kampung dan taman mengambil upah kerja-kerja buruh atau mesin rumput bagi menampung pendapatan yang tidak menentu ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Shikh Muhammad Makhdad berkata, harga RM1 yang ditetapkan itu hanyalah simbolik sebagai tanda akad menjual motosikal itu yang diberikan secara percuma oleh penyumbang untuk disampaikan kepada penerima yang benar-benar layak.

“Selepas membaik pulih motosikal ini, saya menerima lapan permohonan untuk membelinya termasuk ada yang menawarkan pada harga lebih tinggi, namun ia bukanlah untuk dijual bagi mendapatkan keuntungan.

“Niat pemberi adalah untuk bersedekah dan pada masa sama mahu pemberian ini benar-benar dimanfaatkan mereka yang betul-betul susah sehingalah saya dapati Nurazam adalah penerima yang layak,” katanya. – MalaysiaGazette