KUALA LUMPUR – Pas perlu memastikan parti itu menjadi penentu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas harus terus menjadi pemimpin sehingga dapat menarik sokongan rakyat hingga menjadi kerajaan.
“Untuk jaminan paling kuat, Pas perlu jadi penentu pada PRU15. Ini penting berasaskan pada kerusi yang menang bukan kerusi yang ditandingi tanpa menang pun.
“Inilah mandat daripada Majlis Syura Ulamak dan Pas Pusat. Mengikut dasar-dasar terkini serta hukum serta segala kemungkinan kita akan terus perhalusi,” katanya dalam ucaptama Muktamar Pas Kali Ke-67 di Kuala Terengganu hari ini.
Jelasnya, lagi, integrati adalah amalan yang bersikap jujur menunjukkan kepatuhan tanpa kompromi.
“Integriti bukan cakap-cakap kosong tetapi harus dilaksanakan kerana itu sejak menjadi sebahagian kerajaan. Pas telah membuktikan melalui tarbiyah dengan membuka pintu 24 jam dan mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menjalankan tugas mereka secara langsung.
“Mereka dibenar bertindak tanpa sebarang halangan terhadap semua menteri besar, Exco kerajaan negeri atau anggota kerajaan boleh disoal siasat,” katanya.
Oleh kerana itu Pas akan memastikan setiap calon yang bertanding diwajibkan melakukan baiah.
“Mereka perlu bersumpah setia terhadap Allah SWT dan pada sama tidak mengkhianati dasar dan konsep perjuangan.
“Dengan keimanan hukum berbaiah, akan lahirlah pemimpin yang baik, selain rakyat yang memilih juga harus bertintegriti.
“Tidak hanya berdasar pada faktor umur malah perlu berasas kematangan akal dan ilmu serta konsisten dalam politik yang jujur dan bersih dalam memiulihkan negara,” ujarnya.
Abdul Hadi turut mengulangi pendirian parti itu yang menolak sebarang penjajaran politik baharu di negara ini.
“Biar apa juga jenama serta perubahan yang dicadangkan, Pas secara tegas tidak mahu menerimanya.
“Pada awalnya kita bersama Muafakat Nasional, kemudian kita bersama pula Perikatan Nasional.
“Laksana menanam benih yang subur, maka sebarang cadangan lain, laksana tumbuhan liar atau makhluk perosak yang wajib dihapuskan,” katanya.
Beliau berkata, Pas tidak boleh dikurung dalam sebarang permuafakatan yang tertutup yang sekadar menjadi penumpang dalam jajaran politik tanah air.
“Tidak ada di dalam Pas yang terkurung pemikirannya. Pas tegas mengikut acuan asal yang lengkap, dengan piagam terbuka,” katanya. -MalaysiaGazette