KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri JJ Raj Jr meninggal dunia di Pusat Perubatan Ara Damansara, Petaling Jaya, awal pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan menerusi laman Facebook PDRM dengan menyatakan mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun.
Mendiang yang terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh, Johor pernah mengetuai Skuad Harimau untuk menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas komunis sewaktu era darurat pada tahun 1950.
Kemuncak karier mendiang dalam Pasukan ialah apabila dilantik sebagai Pengarah Pengurusan, Bukit Aman pada tahun 1974 sebelum menjalani persaraan wajib pada tahun 1976 dengan pangkat Komisioner Polis.
Jenazah mendiang akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Shah Alam, untuk diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan orang ramai, petang ini.
“Sesungguhnya jasa dan bakti yang pernah dicurahkan oleh pesara CP Tan Sri Datuk Seri Sentosa Setia Diraja J.J. Raj (Jr.) sangat besar dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada Pasukan dan negara,” demikian status yang dimuatnaik di laman sosial itu.
Turut mengucapkan takziah terhada keluarga mendiang, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, dan timbalannya, Datuk Seri Mazlan Lazim. – MalaysiaGazette