Home Politik Jaga wakil rakyat lagi susah dari jaga rakyat

Jaga wakil rakyat lagi susah dari jaga rakyat

Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Menjaga wakil rakyat agar tidak melompat parti lebih susah daripada menjaga rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, keadaan itu berlaku sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Lebih-lebih lagi ada parti yang anti-lompat parti pun mahu mengambil ahli politik yang baharu lompat parti sebagai calon pula.

“Ada pelanggan, ada penjual,” sindir beliau.

Tambahnya, hendak tunggu Akta Anti-Lompat pun lambat lagi.

Semalam, Pakatan Harapan (PH) berkata, ia mungkin memilih dua daripada bekas wakil rakyat UMNO yang berpaling tadah sebagai calon mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PKR dan Amanah akan memilih setiap satu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO itu.

Difahamkan, PKR akan mengambil bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron manakala Amanah akan mengambil bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Bagaimanapun keputusan muktamad mengenai cadangan itu belum diputuskan lagi.

“Setakat saya faham, PKR pilih satu, Amanah pilih satu, walaupun akan dimuktamadkan lewat malam ini atau esok pagi sebelum umumkan calon,” kata Anwar. – MalaysiaGazette