Home Politik PRN Melaka: Putra umum tanding lima kerusi, tidak letak harapan – Ibrahim

PRN Melaka: Putra umum tanding lima kerusi, tidak letak harapan – Ibrahim

Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengumumkan bertanding di lima kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, keputusan itu diambil selepas perbincangan dilakukan oleh biro politik parti berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui sukar bagi parti ini unyuk menang.

“Saya nak minta maaf kepada Biro Perhubungan Putra Melaka yang sebelum ini mahu kami bertanding 13 kerusi.

“Setelah berbincang, dan mengakui sebagai parti baharu, hanya lima kerusi yang akan kami letakkan calon,” katanya pada sesi pengumuman yang diadakan secara atas talian.

Beliau berkata, Putra yang baharu berusia hampir tiga tahun, tidak mampu menyediakan persiapan terbaik untuk PRN Melaka ini.

“Kami bertanding atas dasar sebagai alternatif kepada blok-blok parti sedia ada. Kami tahu sukar untuk menang tetapi inilah yang kami berikan kepada rakyat Melaka,” katanya.

“Putra hanyalah sebagai burung pipit dalam PRN Melaka ini, tetapi mempunyai jiwa besar dalam politik hari ini.

“Tetapi ada katak yang melompat di atas dua gajah yang mana gajah itu adalah blok terbesar di Melaka iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ,” katanya.

Calon-calon tersebut adalah Prof Dr Muhammad Alwi Sani, 55, (Pengkalan Batu), Laila Maun 44, (Gadek), Muhammad Faizal Hamzah 44, (Duyung), Nazatul Ashraf Mohd Dom, 38, (Sungai Rambai) dan Muhmmad Hasidi Mohd Zain (Paya Rumput).

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November hadapan dan penamaan calon akan diadakan pada 8 November ini. -MalaysiaGazette