Home Utama Lebuhraya Pan Borneo bakal lonjak potensi pembangunan luar bandar Sabah – PM

Lebuhraya Pan Borneo bakal lonjak potensi pembangunan luar bandar Sabah – PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika melancarkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur ((Kinabatangan-Sandakan-Beluran-Telupid) di Dataran Tamu Pekan Kota, Kinabatangan.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian infrastruktur jalan raya yang terancang, sistematik dan efisien buat Keluarga Malaysia di negeri ini.

Projek ini memastikan pembangunan sosioekonomi yang lebih baik dan dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini, selari dengan hala tuju strategik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon berkata, projek ini melibatkan kerja-kerja menambah baik jaringan jalan raya sedia ada secara berfasa dari Sindumin ke Kudat, Ranau ke Sandakan dan seterusnya ke Tawau.

Ia turut melibatkan pembinaan jalan baru dan naik taraf bagi Fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 706 kilometer yang dibahagikan kepada 35 Pakej Kerja.

Menurutnya, projek ini merangkumi tiga pakej tambahan iaitu Pakej Kerja 28, 29 dan 30 yang merentasi daerah Kinabatangan, Sandakan, Beluran dan Telupid sepanjang 58 kilometer dengan kos berjumlah RM877 juta kepada 11 Pakej Kerja yang telah dimulakan pembinaan seawal tahun 2016.

Skop pembinaan tiga Pakej Kerja ini melibatkan kerja-kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan sedia ada dari dua lorong ke empat lorong dari Sandakan Mile 32 ke Sungai Baoto, ini turut melibatkan pembinaan satu persimpangan bertingkat di Sapi Nangoh, dan tiga jambatan di Sungai Monyet, Sungai Muanad dan Sungai Manduring.

”Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada bulan ini dan dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun iaitu pada bulan Oktober 2024.

”Insya-Allah pembangunan di Sabah tidak akan terhenti di sini, kerajaan akan meneruskan pakej-pakej pembangunan dalam memastikan pembangunan Negeri
Sabah dapat diteruskan dan manfaat dapat dinikmati oleh rakyat di negeri ini,” katanya ketika melancarkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur ((Kinabatangan-Sandakan-Beluran-Telupid) di Dataran Tamu Pekan Kota, Kinabatangan.

Ismail Sabri menambah, Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi keutamaan terhadap pembangunan negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan Negeri Di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang bersama-sama membangun seiring dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Katanya, Kerajaan Persekutuan memperuntukan perbelanjaan pembangunan bagi Sabah dan Sarawak merangkumi lebih 20 peratus daripada peruntukan perbelanjaan pembangunan Bajet 2022 yang diagihkan ke negeri-negeri di Malaysia.

”Peruntukan ini bertujuan melaksanakan pembangunan infrastruktur air, elektrik, jalan raya serta kemudahan pendidikan dan kesihatan yang sekali gus akan merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung,” ujar beliau.

Tambah beliau, hasrat Kerajaan Persekutuan menerusi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini adalah untuk mengulangi kejayaan projek-projek lebuh raya di Semenanjung kerana rangkaian jalan raya yang baik mampu melonjak potensi pertumbuhan dan memberi limpahan transformasi pembangunan luar bandar.

Kerajaan yakin, Projek Lebuhraya Pan Borneo ini bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat-pusat komersial di sepanjang jajarannya.

Bahkan, projek ini juga telah membuka ruang penglibatan untuk rakyat tempatan Sabah sepenuhnya.

”Ada yang telah dilantik sebagai perunding, pembekal mahu pun kontraktor serta mencipta peluang pekerjaan buat Keluarga Malaysia di Sabah.

”Selain itu ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam kalangan anak tempatan Sabah juga telah dapat dilahirkan dan secara langsung memberi sumbangan kepada pembangunan Negeri Sabah khususnya, sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi tempatan.

“Seterusnya, hasil perancangan yang rapi dan bersifat holistic antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri melalui Highway National Development Planning (HNDP), projek ini bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan Pihak Berkuasa Pembangunan dan Ekonomi Sabah (SEDIA) untuk membolehkan Negeri Sabah mencapai taraf negeri maju,” kata Ismail Sabri. – MalaysiaGazette