KUALA LUMPUR – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan mengambil tindakan proaktif bagi memberi kefahaman penuh mengenai peraturan pertandingan terutama di peringkat antarabangsa kepada semua terbabit termasuk atlet, jurulatih dan pentadbir sukan.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dalam satu kenyataan berkata, ini bagi memastikan insiden seperti dialami jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada acara final lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak lagi berulang pada masa depan.
“Insiden malang ini tidak sepatutnya berlaku, tetapi ini memberi peluang sebagai pengajaran berharga yang akan menjadi titik perubahan kepada semua pentadbir sukan, jurulatih dan terutamanya atlet untuk mematuhi protokol ketat yang dilaksanakan bagi menjayakan pengurusan mana-mana acara sukan.
“MPM akan mengambil tindakan proaktif bagi tentukan semua warga yang terlibat dalam acara sukan, terutama dalam acara antarabangsa, cukup fasih dengan segala peraturan pertandingan.
Ahmad Faizal dalam satu kenyataan berkata, jawatankuasa siasatan dipengerusikan Tan Sri Borhan Dolah itu mendapati jurulatih dan atlet berkenaan tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu ditetapkan untuk pendaftaran di bilik menunggu biarpun kedua-duanya menganggap mereka tiba tepat pada waktunya.
Mengulas lanjut, Megat D Shahriman berkata, MPM menerima maklum keputusan Jawatankuasa Siasatan Dalaman berkenaan insiden Muhammad Ziyad semasa Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang menimbulkan ketegangan, pertanyaan dan kekecewaan rakyat seluruh negara.
“Kami amat percaya keputusan dari hasil siasatan ini akan dapat menjelaskan kemusykilan ini di mana semua pihak harus memahami bahawa dalam sesuatu kejohanan sebesar Paralimpik, kita tertakluk sepenuhnya kepada peraturan dan tatacara ditetapkan pihak penganjur baik dari segi kelayakan, kuota penyertaan, peraturan kawalan kesihatan, pendaftaran, peraturan bertanding dan sebagainya.
“Hasil siasatan jawatankuasa ini amat penting kerana ianya membabitkan masa depan atlet serta staf bantuan yang sudah membantu Ziyad untuk muncul sebagai jaguh terunggul dalam dunia bagi acara lontar peluru selama ini.
“Ziyad mungkin kehilangan suatu pencapaian yang bersejarah di kaca mata pegawai teknikal tetapi hakikat sebenarnya di kaca mata umum, beliaulah juara sebenarnya apatah lagi dengan rekod dunia yang dipecahkannya.
“Persaingan sengit beliau dengan pemenang pingat emas dari Ukraine sudah tentu detik pertandingan yang akan diingati walaupun terpaksa menyerahkan kejayaan berkenaan kepada atlet lain,” kata Megat. – MalaysiaGazette