KUALA LUMPUR – Lima calon Parti Gerakan yang bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu menandatangani Akuan Berkanun (SD).
Presidennya, Datuk Dominic Lau berkata, menerusi SD itu, sekiranya calon itu menang dan hendak lompat ke parti lain, mereka sebagai wakil rakyat secara automatik tergugur dan perlu diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).
Katanya, walaupun Akta Lompat Parti belum diluluskan di Parlimen tetapi setiap parti boleh membuat perjanjian dengan calon atau pemimpinnya secara tandatangan dan ikrar (SD).
“Hari ini, lima calon Gerakan telah menandatangani SD. Mereka berikrar akan taat setia kepada parti dan jika menang PRN Melaka serta berstatus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), mereka akan tetap kepada parti.
“Tetapi, jika mereka lompat ke parti lain, status ADUN itu akan terlucut dan kawasan mereka akan diserahkan semula kepada parti untuk diberi mandat kepada rakyat melalui PRK,” katanya pada sidang media lima calon Gerakan menandatangani SD di ibupejabat Gerakan hari ini.
Lima calon yang mendatangani SD itu ialah B. Dhanesh yang akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Seri Micheal Gan Peng Lam (Ayer Keroh), Patrick Ng Chin Kae (Kesidang), Fong Khai Ling (Kota Laksamana) dan Clarice Chan Ming Wang (Bandar Hilir).
Gerakan salah satu komponen Perikatan Nasional (PN) yang mana Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan bertanding di semua 28 kerusi DUN.
Dalam pembahagian kerusi itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendapat 15 kerusi, Pas (lapan) dan Parti Gerakan (lima).
Menurut Dominic, rakyat Melaka dan Malaysia khususnya sudah muak serta letih dengan politik tidak menentu, tambahan pula sikap pemimpinnya suka lompat parti tanpa memikirkan nasib rakyat.
Kata beliau, PN menghadapi PRN Melaka minggu depan pun disebabkan empat ADUN dari kerajaan memerintah menarik sokongan kepada kerajaan sendiri.
“Akibatnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa mengadakan pilihan raya selepas DUN itu mendapat perkenan dibubarkan.
“Parti Gerakan mengambil peluang ini untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terutama pengundi di Melaka agar membuat pilihan yang tepat bagi memastikan kehidupan mereka terjamin,” katanya.
Beliau menegaskan, apabila Gerakan meminta lima calonnya berikrar dan menandatangani SD, itu memperlihatkan komitmen dan kesungguhan parti untuk terus kekal dan setiap menjadi wakil rakyat yang disenangi.
Ini juga, katanya, menunjukkan ADUN Gerakan tidak boleh sewenang-wenangnya mempermainkan jawatan yang diberi kepercayaan oleh parti dan rakyat dengan lompat sana sini.
“Kita tidak halang mereka nak lompat parti, tetapi serahkan semula kawasan (DUN) kepada parti untuk kita tentukan dengan SPR,” katanya.
Ditanya apakah kandungan SD itu, Dominic berkata, ianya antara lain ikrar calon sekiranya menang, akan setia dan tidak boleh khianat kepada parti.
“Jika lompat, mereka dianggap telah mengkhianati parti dan perlu meletakkan jawatan kepada Yang di-Pertuan Dewan Undangan Negeri,” katanya. – MalaysiaGazette