Home Seni Hidup Sufian pinang Elfira 6 Oktober ini

Sufian pinang Elfira 6 Oktober ini

Sufian Suhaimi sedang popular dengan single terbaharu, Di Matamu.
Sufian Suhaimi

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Sufian Suhaimi mengesahkan berita gembira apabila bakal mengikat pertunangan dengan pelakon, Elfira Loy pada 6 Oktober depan.

Sufian berkata, majlis pertunangan itu akan diadakan di kediaman keluarga Elfira di Cheras secara tertutup untuk ahli keluarga terdekat.

Dia turut mengakui masih lagi tidak melakukan apa-apa persiapan bagi pihak lelaki dan semuanya diuruskan oleh pihak kekasihnya.

Sufian, 25, berkata, keluarga kedua-dua pihak tidak menetapkan tempoh pertunangan.

“Saya belum rasa apa-apa hendak bertunang dan saya juga tidak mahu meletakkan tempoh berapa lama bertunang kerana ia akan memberi tekanan. Insya-Allah, kalau ada jodoh, mungkin tahun depan akan melangsungkan perkahwinan.

“Usia muda buat saya dan Elfira yang berusia 23 tahun bukan penamat karier kami asalkan terus menghasilkan produk seni berkualiti kepada masyarakat.

“Ketika ini, saya masih dalam proses menamatkan pengajian yang tertangguh akibat komitmen seni,” katanya yang dalam proses menyiapkan album mini.

Sufian ditemui pada majlis ulang tahun ke-10 dan pembukaan cawangan terbaharu Restoran Seoul Garden di Melawati Mall, dekat sini, sebentar tadi.

Penyanyi, Sufian Suhaimi (kiri) mengambilkan makanan untuk anak-anak yatim yang hadir di Majlis Perasmian Pembukaan Cawangan Seoul Garden dan Ulang Tahun ke14 Seoul Garden di Melawati Mall, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 06 SEPTEMBER 2107

Pada masa sama, anak kedua daripada tiga beradik itu mengaku kritikan netizen memberi tekanan kepadanya untuk memasuk fasa baru bersama Elfira.

Sufian yang popular dengan lagu Terakhir memberitahu, apa yang mampu, dia akan sentiasa bersabar dan berfikiran positif.

Mengaku ujian sepanjang tempoh pertunangan lebih kuat, Sufian berharap peminat berdoa dia dan Elfira melangkah ke jenjang pelamin.

“Ramai cakap ujian ketika bertunang cukup kuat. Namun, sebelum bertunang dan ketika merisik pun saya sudah menerima pelbagai kritikan netizen hingga agak tertekan.

“Namun, saya ambil semua itu dengan positif. Saya cuba hadapinya dengan sabar kerana tahu ujian dalam tempoh pertunangan lebih mencabar,” katanya. – MalaysiaGazette