KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap agar proses penamaan calon pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok berjalan lancar.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berharap tidak ada berlaku apa-apa insiden tidak baik khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari penamaan calon,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula dari pukul 9 sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 28 Pusat Penamaan Calon.
Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU DUN Melaka ke-15, agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka sebelum hari penamaan calon.
Selain itu, menurut Ikmalrudin, bakal-bakal calon juga adalah disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal.
“Perlu diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran. Ini adalah bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.
“Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol
parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan
kertas penamaan calon,” katanya.
Hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan
masuk ke pusat penamaan calon. Penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon.
Aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.- MalaysiaGazette