MADRID – Salah sebuah lapangan terbang paling sibuk di Sepanyol ditutup selama hampir empat jam pada hari Jumaat lalu selepas berlaku percubaan memasuki negara ini secara haram oleh pendatang.
Sebuah pesawat yang terbang dari Casablanca di Maghribi ke Istanbul, Turki, terpaksa dilencongkan ke Palma de Mallorca selepas berlaku kecemasan perubatan di dalam pesawat.
Apabila pesawat itu mendarat, tiba-tiba seramai 21 orang penumpang melarikan diri dengan melintasi landasan dan memanjat pagar.
Polis kemudian membuat tangkapan tetapi 12 masih dalam pelarian.
Siasatan sedang dijalankan polis untuk menentukan sama ada kumpulan itu melarikan diri dari pesawat itu secara spontan atau melakukannya hasilĀ rancangan terperinci untuk berhijrah secara haram.
Pegawai tertinggi Kerajaan Sepanyol untuk Kepulauan Balearic, Aina Calvo berkata, situasi itu tidak pernah berlaku sebelum ini di lapangan terbang Sepanyol.
Drama itu bermula apabila perkhidmatan kecemasan memasuki pesawat Air Arabia Maroc untuk memindahkan seorang lelaki Maghribi yang dikatakan tidak sedarkan diri.
Ketika mereka berbuat demikian, 21 orang penumpang yang lain berlari menuruni anak tangga dan melarikan diri.
Selepas pemeriksaan kesihatan di hospital, didapati lelaki yang tidak sedarkan diri itu sihat dan dibenarkan keluar.
Bagaimanapun dia ditahan kerana didakwa memasuki negara itu secara haram, lapor agensi berita Sepanyol Efe.
Seorang penumpang yang menemaninya ke hospital juga dilaporkan hilang.
Kebanyakan pelarian yang melarikan diri itu berjaya ditahan semula.
Majorca Daily Bulletin melaporkan “seorang telah ditangkap ketika berjalan di sepanjang jalan ke Manacor”.
Jumlah keseluruhan yang terlibat ialah 24, termasuk seorang yang ditahan kerana berkelakuan agresif di dalam pesawat.
Kira-kira 60 penerbangan nasional dan antarabangsa telah dilencongkan atau ditangguhkan akibat insiden itu.
Pesawat Air Arabia Maroc itu kemudian meneruskan penerbangan Turki dengan penumpangnya yang ada. – BBC