KUALA LUMPUR, 8 Nov — Persidangan Dewan Rakyat hari ini antara lain akan mengupas isu berkenaan langkah serta tindakan undang-undang bagi membendung perjudian dalam talian.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persoalan itu akan diajukan oleh Noorita Sual (PH-Tenom) kepada Menteri Dalam Negeri.
Selain itu, Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) akan mengemukakan soalan kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai perancangan untuk melaksanakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam usaha merealisasikan cadangan pembinaan sekolah sukan khusus bagi pelajar kurang upaya.
Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari kesembilan hari ini akan diteruskan dengan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).
Rang undang-undang itu yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Okt telah dibahaskan 42 Ahli Parlimen minggu lepas.
Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 16 Disember. – MalaysiaGazette