KUALA LUMPUR – UOB Asset Management (Malaysia) (UOBAM (Malaysia)) baru-baru ini melancarkan United Sustainable Series – Global Credits Fund (USSGCF), dana borong pertamanya yang memberi tumpuan kepada bon daripada syarikat yang mencapai kemajuan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 1 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
SDG PBB menetapkan agenda global untuk pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar yang mampan untuk dicapai menjelang 2030.
USSGCF bertujuan mencapai objektif pelaburan dengan melabur sekurang-kurangnya 90 peratus daripada nilai aset bersihnya dalam RobecoSAM SDG Credit Income (Dana Sasaran).
Dana Sasaran menawarkan pendedahan terpelbagai dalam pasaran kredit global kepada pelabur dan bertujuan memaksimumkan pendapatan sepanjang kitaran kredit.
Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM (Malaysia), Lim Suet Ling berkata, UOBAM melabur untuk sesuatu tujuan dan menyediakan pulangan positif.
”Kami melihat minat yang semakin meningkat dalam dana tertumpu pada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang memberi impak positif terutamanya dalam kalangan pelabur sofistikated yang memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pengamalan ESG.
”Terdapat juga bukti semakin meningkat yang menunjukkan bahawa penjajaran nilai pelaburan boleh membawa prestasi yang mengatasi pulangan secara konsisten dalam jangka panjang,” katanya
Robeco Institutional Asset Management B.V. (Robeco), peneraju global dalam pelaburan mampan adalah pengurus bagi Dana Sasaran tersebut.
Dana Sasaran menggunakan rangka kerja ukuran proprietari untuk mengukur sumbangan syarikat dengan 17 SDG PBB.
Penilaian ini juga membantu mengenal pasti syarikat yang mampu kekal berdaya saing dan relevan dalam peralihan kepada ekonomi yang lebih mampan, sekali gus mengehadkan pelaburan dalam syarikat yang mempunyai risiko keingkaran yang lebih tinggi di masa hadapan.
Dana Sasaran juga tidak akan melabur dalam bon korporat yang menjejaskan matlamat ini atau mempunyai penarafan SDG yang negatif.
USSGCF sesuai untuk pelabur sofistikated yang mempunyai profil risiko konservatif, tempoh pelaburan jangka panjang dan mahukan pertumbuhan modal dengan melabur dalam portfolio instrumen pendapatan tetap global.
Ia disediakan untuk langganan dalam ringgit Malaysia, dolar Australia, pound sterling, dolar Singapura, dolar Amerika Syarikat dan renminbi China dengan pelaburan permulaan minimum masing-masing sebanyak RM1,000, A$1,000, AS$1,000, £1,000 dan RMB1,000. – MalaysiaGazette