Home Nasional Seramai 18,489 penduduk Pahang sudah terima vaksin dos penggalak

Seramai 18,489 penduduk Pahang sudah terima vaksin dos penggalak

Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Mohd Yunus menyampaikan cenderamata kepada Presiden Kelab media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin selepas sidang media di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seramai 18,489 penduduk Pahang sudah menerima vaksin dos penggalak sejak 15 Oktober lalu terutama mereka yang bekerja di barisan hadapan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Mohd Yunus berkata, golongan penerima awal  merupakan warga Kementerian Kesihatan, polis, tentera dan bomba.

Manakala golongan warga emas dan berpenyakit pula menerima dos penggalak sejak 28 Oktober lalu di kilinik-klinik kesihatan di negeri itu.

“Sasaran Pahang untuk memberikan dos penggalak kepada 55,468 orang kepada mereka di barisan hadapan manakala sejumlah 160,178 kepada warga emas dan keutaaman diberikan kepada 541,348  golongan yang berpenyakit,” katanya.

Dr. Nor Azimi Mohd Yunus

Beliau berkata demikian dalam sidang media sejurus Majlis Sepetang Bersama Pengarah Kesihatan Negeri Pahang di Kuantan hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 51,800 kes positif  direkodkan di Pahang dan 33 peratus daripadanya atau 17,132 pesakit merupakan dalam kalangan yang sudah mendapat vaksin lengkap.

“Ini bermakna walaupun kita sudah menerima vaksin, ia bukan bermakna tidak dijangkiti Covid-19. Fungsi vaksin sebagai mengurangkan keterukan jangkitan atau mengurangkan risiko kritikal di wad kecemasan,” katanya. – MalaysiaGazette