Home Sukan Piala Malaysia: Mintah beraksi dalam kesakitan

Piala Malaysia: Mintah beraksi dalam kesakitan

Jordan Mintah. Foto MFL.

KUALA LUMPUR – Penyerang Terengganu FC, Jordan Mintah menyifatkan pengorbanannya menahan sakit susulan kecederaan siku demi TM Piala Malaysia berbaloi apabila berjaya meledak dua jaringan dalam aksi menentang Selangor FC, semalam.

Mintah masih belum cergas 100 peratus ekoran kecederaan yang dialami bahkan rasa sakit masih lagi dirasai ketika beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang menyaksikan skuad kendalian Nafuzi Zain itu meraih kemenangan 3-1 ke atas Selangor.

Namun, penjaring terbanyak Liga Premier ini tidak menjadikan kecederaan sebagai halangan besar untuk menjadi tulang belakang pasukan selepas berjaya meledak dua jaringan menerusi sepakan percuma sekali gus meletakkan Terengganu selaku juara Kumpulan B.

“Sebenarnya perlawanan tadi (semalam) saya masih rasa sakit lagi dan belum cergas sepenuhnya sebab setiap kali kalau terjatuh memang akan rasa sakit di bahagian siku.

“Tetapi, saya tahu saya perlu berkorban untuk Piala Malaysia ini sebab saya mahu berikan apa yang penyokong mahu dan setiap kali saya di padang, saya akan lupa semua rasa sakit dan hanya fikirkan untuk beraksi sahaja.

“Gol yang dilakukan itu juga memang saya sudah lama sasarkan untuk cuba buat menerusi sepakan percuma, jadi setiap kali ada sepakan percuma, saya memang nak buat dan tidak sangka malam ini (semalam) ia berhasil untuk memberikan dua gol kepada pasukan”, jelasnya.

Dalam pada itu, Nafuzi cukup berbangga atas pencapaian anak buahnya yang berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa kalah untuk memberi kemenangan kelima berturut-turut buat pasukan.

Namun, beliau menegaskan misi untuk membawa pulang trofi TM Piala Malaysia masih lagi jauh dan mahu barisan pemain fokus satu persatu untuk memastikan mereka mampu melangkah ke pentas final pada musim ini.

“Alhamdulillah syukur untuk tiga mata di tempat lawan dan menentang Selangor kita tahu bukan mudah, jadi saya betul-betul berbangga dengan pemain terutamanya dengan aksi mereka daripada awal permainan sampai habis.

“Untuk masa sekarang, saya belum di tahap untuk membawa piala lagi, sebab kita masih di peringkat awal dan layak ke suku akhir, jadi seterusnya adalah untuk melepasi suku akhir pula, jadi saya sasarkan kita fokus satu persatu dahulu.

“Malam ini (semalam) walaupun ada beberapa pemain tidak dapat beraksi seperti Lee Tuck, Carli de Murga, tetapi pemain lain mengikut arahan yang diberi, lakukan tugas masing-masing dan betul-betul membantu antara satu sama lain.

“Yang penting lepas ini kita kena menang juga dengan Kuching City untuk kita jaga rekod kemenangan berterusan”, katanya.

Dengan kemenangan semalam meletakkan Terengganu di tangga teratas Kumpulan B dengan 15 mata diikuti Selangor dengan 9 mata untuk layak ke pusingan suku akhir.

Perlawanan terakhir peringkat kumpulan akan berlangsung esok dan Rabu ini menyaksikan Terengganu akan menentang Kuching City FC dan Selangor pula akan berdepan Perak FC. – MalaysiaGazette