Home Nasional Malaysia-Singapura akan lancar VTL antara Changi dan KLIA

Malaysia-Singapura akan lancar VTL antara Changi dan KLIA

Menjadi kebanggaan Hassan apabila Ismail berjaya membuaka firma guamannya sendiri.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura akan melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai 29 Nov 2021.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong yang dikeluarkan selepas kedua-dua pemimpin berbincang melalui panggilan telefon pada Isnin.

Di bawah VTL, pelancong yang lengkap divaksin boleh membuat perjalanan antara Malaysia dan Singapura dan tidak perlu jalani kuarantin atau Notis Duduk Rumah (SHN) jika melepasi ujian COVID-19.

Kedua-dua perdana menteri juga berharap dapat memulihkan perjalanan merentasi laluan darat dalam masa terdekat.

Mereka berpuas hati melihat kemajuan baik yang dicapai dalam perbincangan terperinci yang berterusan mengenai skim yang sama dalam usaha membuka semula laluan merentasi Tambak dan Link Kedua, dengan mengambil kira situasi kesihatan awam di Johor dan Singapura.

Dalam kenyataan itu Ismail Sabri berkata, VTL merupakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama Malaysia-Singapura yang telah lama terjalin.

VTL akan membolehkan perjalanan apabila kedua-dua negara membuka semula sempadan mereka secara beransur-ansur dengan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi, di samping memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat mereka daripada COVID-19.

Sementara itu, Lee berkata; “Saya mengharapkan pelaksanaan yang berkesan menerusi skim perjalanan ini, menambah kepada apa yang telah kita bangunkan sebelum ini untuk memudahkan pergerakan rakyat dan barangan antara Malaysia dan Singapura”.

“Saya sangat gembira kerana kedua-dua negara kita akhirnya dapat memulakan kembali perjalanan rentas sempadan melalui VTL. Ini akan membantu memulihkan ekonomi kita, memulihkan hubungan antara rakyat, dan mengukuhkan hubungan dua hala kita,” tambahnya.- BERNAMA