Home Dunia 25 kanak-kanak maut, kelas terbakar

25 kanak-kanak maut, kelas terbakar

Kawasan kelas diperbuat daripada jerami yang terbakar menyebabkan kematian kanak-kanak sekolah di Niger. foto aw-journal.com

NIAMEY – Sekurang-kurangnya 25 kanak-kanak berumur lima hingga enam maut selepas bilik darjah yang diperbuat daripada pondok jerami terbakar.

Beberapa orang lagi cedera semasa kebakaran yang berlaku pada pagi Isnin ketika kanak-kanak memulakan pembelajaran di sekolah di wilayah Maradi, Niger.

Punca kebakaran masih belum diketahui.

Di Niger, bilik darjah tambahan sering dibina menggunakan kayu dan jerami apabila struktur bata utama tidak dapat menampung semua pelajar sekolah.

Kebakaran pada Isnin memusnahkan tiga bilik darjah seperti itu, kata Datuk Bandar Maradi, Chaibou Aboubacar, kepada media tempatan.

Seorang saksi memberitahu BBC mereka melihat beberapa mayat dibawa dari tempat kejadian dan beberapa kanak-kanak yang cedera ditempatkan di dalam kenderaan untuk dibawa ke hospital.

Sebahagian daripada mereka yang cedera dikatakan berada dalam keadaan kritikal.

Sekolah ditutup akibat kejadian itu.

Bukan sesuatu yang luar biasa kebakaran berlaku di bangunan tambahan di sekolah di Niger, tetapi jarang berlaku kebakaran yang mengakibatkan begitu banyak kematian.

Bagaimanapun, awal tahun ini kira-kira 20 kanak-kanak maut dalam kebakaran serupa di ibu kota Niger, Niamey, selepas terperangkap di belakang pintu pagar sekolah.

Sebanyak 28 bilik darjah jerami telah musnah dalam kejadian itu hingga mencetuskan kemarahan orang ramai. – BBC