NEW DELHI – Empat orang bayi yang baru lahir maut selepas kebakaran berlaku di Hospital Kamla Nehru di negeri Madhya Pradesh.
Mangsa-mangsa tersebut adalah antara 40 bayi yang ditempatkan di unit penjagaan bayi (SNCU) di hospital berkenaan.
“Bayi-bayi lain sedang dirawat,” kata Menteri Pendidikan Perubatan Madhya Pradesh, Vishvas Kailash Sarang kepada pemberita selepas kebakaran berjaya dikawal.
Beliau yang menggambar keadaan unit penjagaan bayi itu sebagai ‘amat menakutkan’ mahu siasatan segera dilakukan untuk mengetahui punca kejadian.
Kejadian itu dilaporkan berpunca dari tingkat tiga yang menempatkan unit rawatan rapi.
Namun, beliau tidak menolak kebakaran yang bermula jam 9 malam itu berpunca daripada litar pintas.
Hospital ini merupakan salah satu hospital terbesar milik kerajaan.
Sementara itu, keadaan di hospital berkenaan dilaporkan kelam-kabut apabila keluarga mula membanjiri kawasan itu untuk mengetahui perkembangan lanjut.
Malah, ada ibu dan bapa berlari membawa anak masing-masing keluar dari hospital berkenaan. – Agensi