Home Nasional Isu Hartal Doktor Kontrak antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Isu Hartal Doktor Kontrak antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

The Special Dewan Rakyat Sitting at the Parliament in Kuala Lumpur. PIX COURTESY OF THE DEPARTMENT OF INFORMATION / 26 JULY 2021. motion of confidence motions no confidence Supply Bill 2022 Budget
Dewan Rakyat - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Isu perjawatan tetap kepada doktor kontrak dan langkah kerajaan dalam menghadapi gelombang kedua Hartal Doktor Kontrak antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat menerusi laman web rasmi Parlimen, isu berkenaan diajukan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) kepada Menteri Kesihatan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Dalam pada itu, Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) pula minta Menteri Kanan Kerja Raya menyatakan persediaan kementerian dalam mengenal pasti jalan dan cerun yang berpotensi runtuh bagi menghadapi musim tengkujuh dalam masa terdekat ini, terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.

Pada sesi yang sama juga, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dijangka menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang ingin tahu mengenai eksport tenaga hidrogen ke luar negara bagi 2020 hingga Jun 2021 serta langkah kementerian bagi memperkukuh industri itu.

Usai sesi tersebut, persidangan berkenaan bakal tertumpu kepada soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang meminta Menteri Kanan Pendidikan menjelaskan langkah pemantauan bagi memastikan murid yang tidak dapat mengikuti kaedah pembelajaran secara dalam talian khususnya murid tahap satu untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dengan lebih baik.

Sementara itu, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) bertanya kepada Menteri Pengajian Tinggi tentang jumlah peratusan kadar kebolehpasaran graduan yang tamat pengajian pada 2019 hingga 2021.

Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-10 hari ini akan diteruskan dengan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).

Rang undang-undang itu yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Okt telah dibahaskan 64 Ahli Parlimen, setakat semalam.

Menurut takwim Dewan Rakyat, perbahasan rang undang-undang itu di peringkat dasar akan diadakan hingga Khamis ini sebelum sesi jawapan menteri berkaitan bermula 15 Nov.

Dewan Rakyat akan bersidang hingga 16 Disember ini. – MalaysiaGazette