Home Nasional Pengurus minta wang perlindungan hampir RM1 juta ditahan

Pengurus minta wang perlindungan hampir RM1 juta ditahan

MACC Malaysian Anti-Corruption Commission 1MDB funds recovery assets
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan seorang pengurus syarikat kerana dipercayai meminta rasuah berjumlah hampir RM1 juta daripada seorang pemilik kilang kononnya sebagai ‘wang pelindungan’ agar tidak diambil tindakan oleh pihak penguat kuasa atas kesalahan melibatkan pekerja kilang itu.

Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di sebuah lokasi di sekitar Kuala Lumpur kira-kira pukul 5 petang hari ini.

Menurut sumber, suspek dikatakan telah meminta dan menerima wang berjumlah kira-kira RM840,000 secara tunai dan pindahan dalam talian sejak Julai hingga September lalu.

“Suspek kononnya akan meminta agensi-agensi penguat kuasa terlibat agar tidak mengambil tindakan terhadap pemilik kilang itu kerana terdapat pekerja warga asing di kilang tersebut meninggal dunia akibat Covid-19.

“Selain itu, dia juga meminta wang tambahan  berjumlah kira-kira RM120,000 kononnya untuk diberi kepada penguat kuasa disebabkan pemilikan kilang itu menggajikan pekerja tanpa permit,” ujarnya.

Difahamkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini untuk direman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette